Pasukan gergasi dunia, Iran tidak berdepan masalah untuk melangkah ke separuh akhir Piala Asia Futsal 2022 apabila dengan bergaya menundukkan Vietnam 8-1 pada aksi suku akhir yang berlangsung di Dewan Saad Al Abdullah, Kuwait sebentar tadi.
Baca Juga:
- Piala Asia Futsal 2022: Iran Berpesta Jaringan Atasi Vietnam Untuk Ke Separuh Akhir
- Piala Asia Futsal 2022: Iran Terlalu Unggul Buat Indonesia
- Pemain Futsal Iran Terus Laku Di Eropah, Moslem Oladghobad Sertai Kelab Sepanyol
Turun selaku pasukan di ranking keenam dunia, Iran menampilkan corak permainan kemas sejurus wisel permulaan ditiup pengadil utama dari Jepun, Hiroyuki Kobayashi untuk memberikan tekanan hebat kepada Vietnam.
Deretan percubaan berbahaya yang dilakukan pada enam minit awal bagaimanapun masih dapat diselamatkan oleh Ho Van Y tetapi seminit kemudian, penjaga gol utama Vietnam itu sudah tidak mampu lagi bertahan.
Ia bermula dengan jaringan pembukaan dihasilkan oleh ketua pasukan, Hossein Tayebi yang melakukan percubaan voli selepas menerima umpanan sepakan penjuru daripada Moslem Oladghobad pada minit ketujuh.
Rembatan jarak jauh padu jelas menjadi senjata utama buat skuad kendalian Vahid Shamsaei apabila dua jaringan dalam situasi hampir serupa hadir pada minit ke-10 menerusi Salar Aghapour dan Alireza Rafiei Pour.
Iran berpeluang untuk menambah jaringan berselang tiga minit kemudian tetapi sepakan penalti kedua (Second Spot) yang diambil Alireza Javan Shahkhali diselamatkan oleh Van Y.
Ketika Vietnam menggunakan taktikal ‘Power Play’ ketika aksi babak pertama berbaki 10 minit untuk ditamatkan, Iran mengambil kesempatan susulan kesilapan pemain lawan untuk mendapatkan jaringan keempat menerusi Tayebi pada minit ke-16.
Kelebihan empat gol itu tidak langsung memperlihatkan barisan pemain Iran untuk mengendurkan asakan mereka pada separuh masa kedua. Ia jelas dibuktikan apabila mereka menjadikan kedudukan 5-0 pada minit ke-25 hasil tolakan mudah Mohammadhossein Bazyar ketika situasi sepakan penjuru.
Tidak cukup dengan itu, trio yang berkelana ke Sepanyol mengukuhkan lagi kedudukan dimana Moslem Oladghobad meletakkan nama selaku penjaring di minit ke-28, Tayebi melengkapkan hatrik berselang lima minit kemudian dan Saied Ahmad Abbasi menutup pesta jaringan itu dengan gol pada minit ke-38.
Tidak sampai seminit, Vietnam akhirnya berjaya mendapatkan gol saguhati menerusi Pham Duc Hoa untuk mengesahkan kemenangan 8-1 memihak Iran.
Dengan kemenangan mudah itu, menanti Iran di separuh akhir ialah pemenang antara Thailand dan Tajikistan yang berlangsung 10 malam nanti.