Skuad futsal Indonesia mungkin gagal melayakkan diri ke separuh akhir Piala Asia Futsal 2022 tetapi tindakan pemain, Syauqi Saud Lubis pada aksi suku akhir bertemu Jepun malam tadi pastinya wajar dipuji.

Baca Juga:

Hal ini kerana pemain kelahiran Medan, Indonesia itu telah mempamerkan semangat kesukanan di tahap tertinggi dan mungkin terdapat pemain yang tidak mampu untuk melakukan perkara sedemikian.

Ketika permainan hanya berbaki lima minit untuk ditamatkan dan Indonesia sedang ketinggalan 1-2, Syauqi memilih untuk mengeluarkan bola bagi menghentikan permainan selepas melihat pemain Jepun, Ishida Kentaro terbaring akibat kecederaan dialaminya.

Keputusan Syauqi itu nyata telah mewujudkan pertikaian di kem skuad Indonesia dan juga para peminat futsal negara tersebut, malah sudah ada penyokong yang memberikan komen negatif di laman Instagram peribadinya.

Tetapi ramai juga yang memberikan semangat kepadanya termasuklah beberapa bekas pemain futsal kebangsaan Indonesia seperti Bambang Bayu Saptaji dan Syahidanshah Lubis.

Perkara itu jelas menimbulkan kemarahan mereka kerana Syauqi berpeluang menjaringkan gol penyamaan sekiranya tidak memilih untuk mengeluarkan bola kerana beliau hanya berhadapan dengan penjaga gol lawan, Higor Pires.

Apatah lagi pada permulaan Kentaro mengalami kecederaan, rakan sepasukan beliau iaitu Sora Nakazawa dan Kazuya Shimizu juga langsung tidak menghiraukannya dan terus sahaja melakukan serangan ke arah pintu Indonesia.

Nakazawa dan Shimizu bagaimanapun pantas menuju ke arah Syauqi bagi menghargai semangat kesukanan tinggi dipamerkan oleh pemain berusia 25 tahun itu.

Segelintir penyokong Indonesia mungkin kesal dengan tindakan tersebut sehingga menjadi antara punca kegagalan skuad kendalian Mohammad Hashemzadeh itu mara ke separuh akhir tetapi Syauqi Saud lebih mengetahui tentang kata hatinya dalam menghadapi keadaan tersebut.