Juara Liga Futsal Profesional Indonesia (PFL) 2021, Bintang Timur Surabaya (BTS) jelas begitu serius untuk menghadapi saingan musim baharu apabila telah mengumumkan kehadiran Everton Cardoso atau lebih dikenali dengan panggilan Gallo, minggu lalu
Baca Juga:
- RASMI: Ricardinho Berkelana Ke Indonesia, Sertai Pendekar United
- Hashemzadeh: Futsal Indonesia Bakal Saksikan Perubahan Lebih Jelas
- Kenali Zuhairi Sholahuddin, Pemain Import Pertama Beraksi Di Liga Futsal Indonesia
Gallo hadir ke Indonesia dengan reputasi hebat apabila beraksi dalam saingan Liga Futsal Sepanyol bersama Levante selama empat musim dengan menjaringkan 46 gol dalam semua kejohanan disertai.
Selain itu, Gallo yang merupakan pemain kelahiran Brazil turut menjadi antara tonggak skuad kebangsaan Azerbaijan dalam saingan Piala Dunia Futsal 2016 di Colombia (menjaringkan tiga gol) dan Euro Futsal 2018 (dua gol).
Malah, pemain berusia 34 tahun itu turut membuat satu penampilan pada saingan Euro Futsal 2022 yang menyaksikan perjalanan Azerbaijan berakhir di peringkat kumpulan.
Walaupun posisi utamanya ialah fixo (pertahanan), Gallo mempunyai kemampuan yang baik untuk menjaringkan gol sepertimana dipamerkannya.
Beliau juga mempunyai teknik yang tinggi dalam menyempurnakan sepakan penalti kedua (Second Spot) dengan tenang.
Gallo menjadi pemain berprofil tinggi ketiga hadir ke saingan PFL selepas Ricardinho menyertai Pendekar United pada pertengahan musim lalu manakala Thiago Bolinha yang merupakan rakan sepasukan Gallo di Azerbaijan memperkuatkan Bintang Timur Surabaya.
Kehadiran pemain-pemain berkelas dunia ini nyata dapat meningkatkan lagi nilai komersial dalam saingan PFL bagi menarik penaja, malah kehadiran penyokong tempatan juga begitu menggalakkan.
Malah, ia turut akan meningkatkan lagi kemampuan Bintang Timur Surabaya dimana kelab yang merupakan juara Piala Futsal AFF 2022 itu akan beraksi dalam kancah Piala Futsal AFC musim hadapan.