Pasukan gergasi dunia, Iran nyata terlalu unggul buat Indonesia selepas mencatatkan kemenangan 5-0 pada aksi sulung kumpulan C Piala Asia Futsal 2022 yang berlangsung di Dewan Saad Al Abdullah, Kuwait malam tadi.
Baca Juga:
- Piala Asia Futsal 2022: Kebangkitan Thailand Pastikan Iraq Hampa
- Pemain Futsal Iran Terus Laku Di Eropah, Moslem Oladghobad Sertai Kelab Sepanyol
- Lewat Lapor Diri Ke Latihan Pusat, Bintang Futsal Iran Dihantar Pulang
Hanya mengekalkan empat daripada 14 pemain yang menjuarai saingan edisi 2018 di Chinese Taipei, Iran dilihat tidak berdepan masalah untuk mendominasi permainan dengan barisan pemain lebih muda pada kali ini.
Pemain tersebut ialah trio yang berpengkalan di Sepanyol iaitu Hossein Tayebibidgoli, Moslem Oladghobad dan Saied Ahmad Abbasi serta Alireza Rafiei Pour.
Juara 12 kali itu tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila ledakan kaki kiri dari jarak jauh oleh Ahmad Abbasi tidak mampu diselamatkan penjaga gol, Muhamad Nazil Purnama pada minit ketiga.
Kelebihan itu dilebarkan oleh Moslem Oladghobad hanya berselang 15 saat kemudian apabila beliau mudah menolak masuk bola selepas menerima hantaran Ahmad Abbasi.
Meskipun tidak banyak ruang yang dimiliki oleh Indonesia untuk mencipta peluang, anak buah Mohammad Hashemzadeh itu masih mampu memberikan ancaman buat Iran.
Peluang itu hadir pada minit kelima apabila Samuel Eko yang melakukan gerakan lincah dari sebelah kiri pintu gol lawan melorongkan cantik buat Mochammad Iqbal Rahmatullah tetapi tolakannya tidak menemui sasaran.
Selepas itu giliran penjaga gol, Saeid Momeni pula menggagalkan dua serangan pantas dilakukan Samuel Eko dan Reza Gunawan untuk menyelamatkan gawangnya daripada dibolosi.
Tidak mahu terus ditekan, Iran memperkemaskan aksi dan berjaya menambah gol ketiga menerusi Mahdi Asadshir pada minit ke-10.
Memasuki babak kedua, Saied Ahmad Abbasi tidak mahu membuang masa dengan menambah gol keempat pada minit ke-23 dan berselang dua minit kemudian, Hossein Tayedi mengambil kesempatan diatas kesilapan pemain Indonesia untuk menjadikan kedudukan 5-0.
Hossein yang merupakan antara pemain terbaik di dunia pada ketika ini terlepas peluang untuk menambah satu lagi jaringan apabila sepakan penaltinya ketika permainan memasuki minit ke-28 diselamatkan oleh penjaga gol gantian, Muhammad Nizar Nayaruddin.
Kedudukan itu kekal hingga tamat permainan untuk meletakkan Iran di tangga teratas dan mereka akan bertemu Chinese Taipei, esok.