Jepun melakar kejutan pada final Piala Asia Futsal 2022 apabila berjaya menundukkan gergasi dunia, Iran 3-2 pada aksi yang berlangsung di Dewan Saad Al Abdullah, Kuwait awal pagi tadi.

Baca Juga:

Kejayaan manis itu merupakan kejuaraan kali keempat buat Jepun selepas mereka turut menjulang trofi futsal paling berprestij di Asia itu pada 2006, 2012 dan 2014.

Ia juga menjadi detik yang pastinya tidak akan dilupakan oleh ketua jurulatih, Kenichiro Kogure kerana beliau sebelum ini beliau memenangi gelaran tersebut sebagai pemain (2006 dan 2012).

Ketangkasan yang dipamerkan penjaga gol, Guilherme Kuromoto sepanjang perlawanan nyata menjadi nadi kepada kejayaan Jepun susulan aksi cemerlangnya dalam menafikan ‘hujan’ serangan daripada para pemain Iran.

Lebih manis, aksi menarik dalam menggagalkan usaha Iran tersebut sekali gus telah menobatkan pemain kelahiran Brazil itu sebagai ‘Penjaga Gol Terbaik’.

Iran bagaimanapun terlebih dahulu berada dihadapan pada minit ke-14 apabila Saied Ahmad Abbasi meledakkan rembatan dari luar kawasan D untuk menewaskan Kuromoto.

Kuromoto beraksi dengan cemerlang. Kredit Foto: 2022 Asian Football Confederation (AFC)

Kelebihan itu hanya bertahan seminit selepas Kazuya Shimizu mengambil kesempatan ekoran kesilapan Mohammadhossein Derakhshani untuk kembali menyamakan kedudukan.

Iran yang berterusan melakukan serangan berbahaya tersentak pada minit ke-26 apabila sepakan percuma jarak jauh daripada Arthur Oliveira hanya mampu dipandang penjaga gol, Saied Momeni untuk gol kedua Jepun.

Tertekan dengan jaringan tersebut, Iran jelas cukup bernafsu untuk mendapatkan jaringan tetapi Kuromoto kental bertahan dalam menafikan setiap asakan diterima.

Taktikal ‘Power Play’ yang digunakan Iran juga akhirnya memakan diri pada minit ke-39 setelah Ahmad Abbasi melakukan kesilapan dimana tolakan ke belakang dilakukan tidak menemui rakan sepasukan sebaliknya bola bergolek ke dalam gawang sendiri.

Meskipun peluang untuk bangkit kelihatan sudah pun terpadam, Iran tetap berusaha dan mereka masih mampu mendapatkan jaringan kedua menerusi Alireza Javan Shahkhali tetapi ianya hadir hanya satu saat sebelum aksi berakhir.

Satu keadaan yang cukup menghampakan buat Iran kerana skuad kendalian Vahid Shamsaei itu mengharapkan kejuaraan ke-13 dapat dikecapi pada edisi kali ini dan nyata kekentalan Jepun ketika bertahan membuahkan hasil buat mereka.