Uzbekistan menamatkan saingan Piala Asia Futsal 2022 di kedudukan ketiga selepas berjaya menundukkan Thailand 8-2 pada penentuan tempat ketiga dan keempat yang berlangsung di Dewan Saad Al Abdullah, Kuwait sebentar tadi.

Baca Juga:

Kemenangan itu turut mengulangi pencapaian sama yang diraih skuad kendalian Akhmedov Bakhodir itu pada edisi 2018 di Chinese Taipei.

Malah, ia merupakan kali kelima Uzbekistan meraih tempat ketiga selepas turut melakukannya pada 2005, 2007 dan 2014.

Thailand terlebih dahulu berada dihadapan seawal minit kedua apabila Narongsak Wingwon yang dapat merampas bola di kawasan tengah meluru ke hadapan lalu melakukan percubaan ‘placing’ menewaskan penjaga gol, Umarov Rustam.

Kelebihan itu bagaimanapun hanya mampu bertahan beberapa saat sahaja selepas Ropiev Ikhtiyor mudah menolak masuk bola hasil hantaran lintang dilakukan Ilkhomjon Khamroev bagi mengikat kedudukan.

Kredit Foto: 2022 Asian Football Confederation (AFC)

Berselang empat minit kemudian, Choriev Davron memberikan kelebihan buat Uzbekistan selepas percubaan susulannya menerjah gawang Thailand setelah rembatan awal Ropiev terkena palang.

Uzbekistan yang turut beraksi dalam saingan Piala Dunia Futsal 2021 menambah dua lagi jaringan hasil situasi bola mati menerusi Ekbek Tulkinov (minit ke-17) dan Khusniddin Nishonov berselang dua minit kemudian.

Masih belum selesa dengan kelebihan tiga jaringan tersebut, Uzbekistan menambah tiga lagi gol dalam tempoh kurang lima minit sebaik sahaja aksi babak kedua bersambung hasil ledakan Juraev Sunatulla, Rakhmatov Anaskhon dan Ropiev.

Worasak Srirangpirot menambah jaringan kedua buat Thailand  selepas beliau berjaya merampas bola dari kaki Sunatulla lalu menyudahkan peluang terhidang pada minit ke-27.

Kegagalan beraksi dengan baik ketika menggunakan taktikal ‘Power Play’ terus menghukum Thailand untuk Khamroev menutup pesta jaringan Uzbekistan pada minit ke-31.