Kemenangan dramatik dilakarkan oleh Thailand bagi melangkah ke separuh akhir Piala Asia Futsal 2022 selepas menundukkan Tajikistan 3-2 pada aksi suku akhir yang berlangsung di Dewan Saad Al Abdullah, Kuwait sebentar tadi.

Baca Juga:

Kemaraan itu juga menjadikan Thailand sebagai satu-satunya wakil daripada Asia Tenggara (ASEAN) yang berjaya ke peringkat empat terbaik setelah perjuangan Vietnam dan Indonesia tersekat sebelum perlawanan ini berlangsung.

Skuad kendalian Carlos Cesar Nunez Gago itu tidak perlu menunggu lama untuk berada dihadapan apabila Panut Kittipanuwong bijak melakukan percubaan yang melepasi celah kaki penjaga gol lawan, Firuz Bozmamadov seawal minit pertama.

Seperti kebiasaan dalam sukan futsal, situasi saling berbalas serangan dapat disaksikan tetapi penjaga gol kedua-dua pasukan tidak mahu gawang mereka dibolosi untuk hanya satu gol memihak Thailand pada babak pertama.

Kedudukan kembali disamakan oleh Vositzoda Iqboli pada minit ke-28 apabila beliau mudah menolak masuk bola hasil hantaran susulan sepakan penjuru yang diambil Gulyakov Sobirdzhon.

Kredit Foto: 2022 Asian Football Confederation (AFC)

Memasuki minit ke-34, giliran Yorov Idris pula menemui sentuhan jaringan dimana beliau hanya menunggu dihadapan pintu gol untuk menolak masuk umpanan dilakukan Sardorov Fayzali ketika penjaga gol Thailand, Katawut Hankampa sedikit keluar daripada posisinya.

Kelebihan itu bagaimanapun hanya mampu bertahan seminit selepas Thailand menggunakan taktikal ‘Power Play’ yang nyata membuahkan hasil untuk membolehkan Jetsada Chudech menyamakan kedudukan.

Ketika perlawanan semakin hampir untuk diheret ke masa tambahan atau lebih tepat lagi hanya 30 saat aksi bakal berakhir, Worasak Srirangpirot muncul wira Thailand apabila rembatannya selepas melepasi kawalan Salomov Dilshod berjaya membolosi gawang Tajikistan.

Dengan kemenangan bermakna itu, Thailand akan berhadapan dengan Iran pada pertemuan separuh akhir yang dijadualkan berlangsung, Khamis nanti.