Wakil Asia Tenggara, Thailand mempamerkan semangat juang tinggi pada aksi sulung saingan kumpulan A Piala Asia Futsal 2022 apabila bangkit daripada ketinggalan untuk mencatatkan kemenangan 3-2 ke atas Iran di Dewan Saad Al Abdullah, Kuwait malam tadi.
Baca Juga:
- Ingin Setaraf Dengan Futsal Thailand, Ini Perkara Perlu Malaysia Contohi
- Suphawut Thueanklang: Banyakkan Liga & Kejohanan Futsal Domestik Untuk Lahirkan Bakat Berkualiti
- Futsal AFF 2022: Kebangkitan Dramatik Thailand Buat Indonesia ‘Merana’
Thailand yang merupakan naib juara edisi 2008 dan 2012 terpaksa beraksi tanpa peledak berbisa, Muhammad Osamanmusa kerana tidak mendapat pelepasan kelab manakala ketua pasukan, Kritsada Wongkeao mengalami patah tulang hidung.
Jelas sekali aksi bertemu Iraq bukanlah tugas mudah buat anak buah Carlos Cesar Nunez Gago itu apabila mereka ketinggalan pada minit kelapan menerusi jaringan Tareq Zeyad Sulaiman.
Gol tersebut berpunca daripada sepakan percuma diambil Salim Faisal Al-Husaynat yang terkena Ronnachai Jungwongsuk lalu memberikan peluang buat Tareq untuk menolak masuk bagi gol pendahuluan.
Tidak cukup dengan itu, giliran Mustafa Ihsan Al-Bayati menambah luka buat Thailand berselang enam minit kemudian susulan situasi kelam-kabut di hadapan pintu gol.
Tersentak dengan dua jaringan tersebut, Thailand tampil dengan lebih baik untuk mendapatkan gol penyamaan dimana usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-17.
Gol itu terhasil selepas Worasak Srirangpirot yang tidak dikawal pemain Iraq ketika situasi sepakan sudut bijak mencuri ruang untuk menolak masuk hantaran dilakukan Warut Wangsama-Aeo.
Jaringan itu jelas menyemarakkan lagi api perjuangan Thailand terus merobek gawang skuad kendalian Seyed Mohammad Alsharieh itu.
Ia jelas dibuktikan apabila Sarawut Phalaphruek berjaya melepasi kawalan dua pemain Iraq sekali gus rembatannya dari luar kawasan D gagal diselamatkan penjaga gol, Zaher Mahdi Hadi bagi kembali menyamakan kedudukan
Sedar hanya kemenangan dapat memberikan bekalan lebih selesa untuk mencerahkan peluang layak ke peringkat suku akhir, Carlos Gago menggunakan taktikal ‘Power Play’ pada lewat permainan.
Perjudian itu nyata cukup berbaloi setelah pemain berpengalaman, Jetsada Chudech melihat ada ruang kecil di sebelah kiri pintu gol Iraq untuk menghadiahkan jaringan kemenangan buat skuad futsal Thailand pada minit ke-35.
Dalam satu lagi aksi kumpulan A, Kuwait berjaya mencatatkan kemenangan selesa 7-2 pada pertemuan menentang Oman.
Manakala bagi saingan kumpulan B, Uzbekistan tidak berdepan masalah untuk membelasah Turkmenistan 8-0 dan Tajikistan pula meraih kemenangan 4-3 ke atas Bahrain.