Malaysia memulakan aksi pembukaan Piala Asia Bawah 17 Tahun (B-17) 2023 yang berlangsung di Stadium Thammasat, Thailand dengan langkah kiri selepas tewas 0-4 bertemu Yemen, sebentar tadi.
Anak buah Osmera Omaro itu kelihatan cukup bergelut untuk menyajikan corak permainan kemas terutamanya pada separuh masa pertama.
Kesempatan itu diambil dengan baik oleh pasukan dari Timur Tengah itu untuk menghukum skuad muda negara beberapa serangan berbahaya ke arah kubu yang dikawal Muhammad Farish Farhan Mohd Zalani.
Kealpaan barisan pertahanan negara hampir dihukum Yemen pada minit kelima tetapi percubaan Anwar Hussein Al-Turaiqi selepas merampas bola dari kaki Adib Ibrahim Adnan diselamatkan Farish Farhan.
Seminit kemudian, pertahanan Malaysia terpaksa berhempas-pulas sekali lagi untuk mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya susulan serangan dilakukan Abdulrahman Al-Khader Abdulnabi.
Malaysia turut mendapat peluang terbaik pada minit ke-11 ekoran kesilapan pertahanan lawan tetapi rembatan Muhamad Anjasmirza Saharudin sekadar meliar.
Jaringan pembukaan Yemen terhasil pada minit ke-21 selepas Abdulrahman yang mendapat hantaran Adel Abbas Qasem menyudahkan dengan baik peluang terhidang untuk menewaskan Farish Farhan.
Adel kemudiannya mencipta nama selaku penjaring apabila beliau yang tidak dikawal pertahanan skuad negara mudah melakukan percubaan leret untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Memasuki minit ke-48, Yemen menambah jaringan ketiga menerusi sepakan penalti Anwar Hussein berikutan bola terkena tangan pemain pertahanan Malaysia, Farish Danish.
Aksi selepas itu memperlihatkan pemain negara berusaha keras untuk mengawal permainan dan mencipta beberapa peluang tetapi ia masih belum mampu untuk mengubah kedudukan.
Sebaliknya, skuad kendalian Mohammed Hassan Ali Albaadani berjaya menambah gol keempat pada minit ke-88 hasil jaringan sendiri Adib ketika cubaannya untuk menghalang hantaran lintang Ali Nabil Al-Hanbasi.