Kemenangan yang dicari skuad Malaysia dalam Piala Asia Bawah 17 Tahun (B-17) hadir pada aksi terakhir peringkat kumpulan A apabila berjaya menundukkan Laos 2-1 di Stadium Pathum Thani, Thailand sebentar tadi.
Keputusan itu sedikit menceriakan kem negara yang sebelum ini hampa tersingkir daripada persaingan ekoran kekalahan dihadapi pada dua perlawanan sebelum ini.
Dua yang dicipta itu juga sekali gus turut mengakhiri kemarau jaringan dimana jentera serangan negara tumpul ketika bertemu Yemen dan Thailand.
Anak buah Osmera Omaro itu bagaimanapun tersentak pada minit ke-12 apabila rembatan daripada luar kawasan penalti oleh ketua pasukan, Sayfon Keohanam membias terkena pertahanan lalu gagal diselamatkan penjaga gol Malaysia, Farish Farhan Mohd Zalani untuk memberikan kelebihan buat Laos.
Tersentak dengan jaringan tersebut, pemain negara tampil dengan lebih baik untuk menyamakan kedudukan tetapi dua percubaan dimiliki pada minit ke-31 dan 42 menerusi Nabil Fitri serta Arami Wafiy diselamatkan Soulisak Manpaseuth.
Kehampaan itu ditebus pada minit ke-43 selepas hantaran lintang menarik dilakukan Aiman Yusuf berjaya ditanduk masuk Dainei Mat Disa untuk memadam kelebihan dimiliki lawan.
Raja Norfirdaus Raja Muhamad Nor terlepas peluang untuk memberikan kelebihan buat skuad negara apabila gerakan dimulakannya gagal disudahkan dengan baik dalam kawasan penalti ketika pintu gol sudah pun terbuka luas pada minit ke-49.
Jaringan kemenangan yang dinantikan hadir pada minit ke-77 selepas Dainei sekali lagi menanduk masuk bola hasil hantaran lintang Zainurhakimi Zain untuk menghadiahkan kemenangan sulung buat skuad negara.