Ketua jurulatih skuad Bawah 16 Tahun Malaysia, Osmera Omaro tidak menolak hakikat bahawa Indonesia yang dihadapi malam tadi pada Kelayakan Piala Asia Bawah 17 Tahun (B-17) 2023 adalah sebuah pasukan yang bagus.
Baca Juga:
- Kelayakan Piala Asia B-17: Malaysia Mudah Belasah Indonesia Untuk Ke Pusingan Akhir
- Kelayakan Piala Asia B-17: Gol Saat Akhir Farish Danish Bantu Malaysia Tundukkan UAE
- Kelayakan Piala Asia B-17: Malaysia Bermula Dengan Cemerlang Tundukkan Palestin
Indonesia yang turun dengan berbekalkan 19 gol dihasilkan pada tiga perlawanan terakhir tidak mampu untuk menangani kepantasan corak permainan ditampilkan skuad negara hingga mereka terpaksa menelan kepahitan tumpas 1-5 di laman sendiri.
Keadaan yang sekali gus memadamkan impian skuad kendalian Bima Sakti Tukiman itu untuk layak ke pusingan akhir.
Sehubungan dengan itu, Osmera menganggap lawan yang dihadapi itu kurang bernasib baik dan beliau turut memuji aksi terbaik yang dipamerkan anak buahnya.
“Pertama sekali saya ucapkan kepada semua pemain, jurulatih, kakitangan, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Majlis Sukan Negara (MSN), Akademi Mokhtar Dahari, JDT, NFDP, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) kerana semua pihak membantu dalam kejayaan yang dihasilkan hari ini (semalam).”
“Ini bukan kerja beberapa orang tetapi kerja ramai orang dan tentu sekali kita mengucapkan terima kasih kepada semua peminat bola sepak di Malaysia,” ujar Osmera bercakap dalam sidang media selepas perlawanan.”
“Daripada segi permainan, kita dah lama menunggu saat ini dimana setiap perkara yang kita lakukan menjadi. Kita tahu kebolehan para pemain ini.”
“Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada pasukan Indonesia kerana mereka adalah sebuah pasukan yang sangat bagus cuma mungkin hari ini nasib kurang baik.”
“Tetapi saya harus memuji barisan pemain saya kerana memberikan segalanya, mengikut semua arahan. Kebiasaannya saya takkan memuji pemain saya tetapi pada hari ini saya boleh cakap prestasi yang terbaik daripada pemain kami,” tambah Osmera lagi.