Hasrat Malaysia untuk meraih kemenangan pada aksi kedua Piala Asia Bawah 17 Tahun (B-17) 2023 tidak kesampaian apabila tunduk di tangan tuan rumah, Thailand 0-3 di Stadium Pathum Thani, sebentar tadi.
Kekalahan kedua berturut-turut itu sekali gus meleburkan impian anak buah Osmera Omaro itu untuk melangkah ke suku akhir dimana mereka tewas 0-4 pada perlawanan sulung menentang Yemen.
Malah, misi untuk melakar kejutan layak ke Piala Dunia seperti dilaungkan sebelum kejohanan berlangsung juga hanya tinggal kenangan.
Beberapa perubahan dilakukan Osmera bagi menghadapi perlawanan ini tetapi ia nyata tidak banyak dapat mengubah corak permainan skuad negara.
Malah, Thailand yang turut menang ketika menentang Laos tempoh hari tampil dengan lebih tersusun untuk mengkucar-kacirkan jentera pertahanan Malaysia.
Gol pembukaan skuad kendalian Pipob On-Mo itu hadir pada masa kecederaan babak pertama selepas keadaan kelam-kabut di hadapan pintu gol disempurnakan oleh ketua pasukan, Pacharapol Lekkun ketika pertahanan skuad negara gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya.
Kedudukan berubah pada minit ke-54 apabila satu gerakan dilakukan Chanothai Kongmeng disudahkan dengan cukup baik oleh Chanasorn Choklap untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Kealpaan jentera pertahanan skuad Malaysia terus dihukum Thailand berikutan hantaran lintang daripada Jirapong Pungviravong mudah ditolak masuk Chanothai yang tidak dikawal pemain negara.
Keadaan 3-0 itu kekal hingga tamat permainan untuk meletakkan skuad negara di tangga terbawah kumpulan A tanpa sebarang mata manakala Thailand pula berkongsi enam mata bersama Yemen dengan dua kemenangan.