Menolak untuk menyertai Manchester United nyata satu keputusan yang tepat untuk penjaga gol Jepun, Zion Suzuki dimana beliau menampilkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Belgium bersama kelabnya, Sint-Truiden.

Baca Juga:

Pengurus United, Erik ten Hag mahu mendapatkan Zion sebagai back up untuk Andre Onana sebagai penjaga gol nombor satu kelab itu bagi menggantikan David de Gea yang meninggalkan pasukan setelah kontraknya tamat.

United telah mencapai kata sepakat dengan kelab Zion iaitu Urawa Red Diamonds namun penjaga gol kelahiran Amerika Syarikat itu menolak untuk menyertai The Red Devils sebaliknya beraksi di Belgium secara pinjaman selama satu musim.

Menurut perkongsian pengguna X iaitu DataMB, Zion muncul sebagai salah satu penjaga gol terbaik di Liga Belgium ketika ini dimana beliau mencatat statistik yang cukup mengkagumkan.

Walaupun menolak Manchester United pada musim panas lalu, Suzuki masih memasang impian untuk bermain di Liga Perdana Inggeris (EPL) dan beliau membuat pendedahan mengapa dia memilih untuk tidak berpindah ke Old Trafford.

“Impian saya adalah untuk bermain dalam Liga Perdana Inggeris dan saya ada menerima tawaran daripada Manchester United. Walaupun saya tidak boleh pergi ke sana sekarang, saya pasti mahu pergi ke sana dalam beberapa tahun,” katanya, seperti yang dipetik dari Sportbible.

Mengenai tawaran Man United, dia menambah: “Memang benar ada tawaran dari mereka. Sebagai pemain bola sepak dan sebagai manusia biasa, jika saya tidak memikirkan apa-apa, sudah tentu saya ingin pergi ke Man United.

“Tetapi saya benar-benar mahu meluangkan masa memikirkan apakah masa depan yang menanti saya. Selepas berfikir panjang, saya membuat keputusan ini.

“Man United telah mendapatkan Onana. Adalah penting bagi saya untuk mengambil bahagian dalam perlawanan, dan saya fikir ia juga penting untuk bermain di pentas dunia. Saya mahu memanfaatkan sepenuhnya apa yang saya pelajari di sini dan melakukan yang terbaik,” tambahnya.

Zion menjadi salah satu calon untuk menjadi penjaga gol nombor satu Jepun di temasya Piala Asia 2023 namun beliau perlu bersaing dengan penjaga gol lain seperti Keisuke Osako (Sanfrecce Hiroshima), Daiya Maekawa (Vissel Kobe) dan Kosuke Nakamura (Portimonense).