Pertembungan paling panas di Asia Tenggara, Perib Bandung menentang Persija Jakarta yang dijadualkan berlangsung pada 28 Oktober ini di Stadium Si Jalak Harupat tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan dan mereka menasihatkan perlawanan kedua-dua pasukan diadakan di venue berkecuali ataupun ditunda ke tarikh lain.
Ketua Polis Daerah (Kapolda) Jawa Barat, Irjen. Pol. Drs. Rudy Sufahriadi menyampaikan permohonan maaf kepada pihak Persib dan juga para penyokong kerana pihaknya tidak dapat mengeluarkan surat izin untuk mengadakan perlawanan antara Persib menentang Persija kerana beberapa faktor.
“Saya mahu menyampaikan permohonan maaf. Pihak kami tidak dapat mengeluarkan surat izin bagi mengadakan pertandingan di Bandung kerana faktor keselamatan. Keputusan ini diambil bagi menjaga keamanan Jawa Barat khususnya Bandung sendiri.
“Kita tidak boleh menghalang penyokong yang mahu datang ke stadium. Ini yang menjadi kerisauan saya. Untuk menjaga keamanan di Jawa Barat dan Bandung, saya mohon semua pihak faham dengan keputusan ini,” kata Rudy.
Pertembungan antara Persib menentang Persija sentiasa diwarnai dengan kekecohan khususnya di antara penyokong kedua-dua pasukan. Musim lalu, ketika Persija bertandang ke Stadium Gelora Bandung Lautan Api (GBLA), seorang penyokong Persija maut setelah dibelasah secara beramai-ramai oleh penyokong pihak lawan.
Haringga Sirla menghembuskan nafas terakhir di hospital setelah beliau dipukul oleh berpuluh-puluh penyokong Persib dengan menggunakan kayu dan besi. Seramai tujuh suspek telah ditahan bagi membantu siasatan.
Baca artikel lain mengenai perlawanan antara Persib menentang Persija di sini:
Robert Alberts Mahu Perlawanan Persib Bandung Menentang Persija Jakarta Dilangsungkan Di Malaysia