Perlawanan terakhir minggu pertama Liga Super 2021 yang berlangsung sebentar tadi menyaksikan Perak FC terikat tanpa jaringan bertemu Petaling Jaya (PJ) City FC di Stadium Perak, Ipoh.
Penjaga gol pasukan pelawat, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi jelas menjadi watak utama pada perlawanan ini apabila beliau cemerlang dalam menggagalkan beberapa peluang terbaik dimiliki jentera serangan Perak.
Raianderson Da Costa Morais hampir meletakkan tuan rumah di hadapan pada minit ke-12 susulan percubaan padu dari luar kawasan penalti diledakkannya. Bagaimanapun Kalamullah menepis percubaan pemain kelahiran Brazil tersebut.
Berselang lima minit kemudian, skuad bimbingan P. Maniam pula memberikan ancaman dengan hantaran menarik dilakukan M. Kogileswaran Raj tetapi kuisan Darren Lok yang tidak dikawal pemain pertahanan sedikit tersasar.
Aksi selepas itu lebih banyak berlegar di tengah padang dan corak permainan menarik kembali ditampilkan Perak pada separuh masa kedua dengan beberapa deretan peluang menarik dicipta.
Dua peluang berturut-turut dicipta sebaik sahaja aksi separuh masa kedua apabila rembatan padu jarak jauh daripada Shahrul Mohd Saad dinafikan Kalamullah manakala percubaan Shakir Hamzah pula dinafikan palang gol pada minit ke-47.
Memasuki minit ke-50, Guilherme De Paula pula terlepas peluang terbaik setelah larian solonya dalam kawasan penalti disudahkan dengan percubaan rendah melepasi kawalan Kalamullah tetapi tersasar.
Kalamullah terus bertindak cemerlang apabila beliau menggagalkan percubaan jarak dekat dilakukan Rafiuddin Roddin pada minit ke-56.
Ketika aksi semakin menghampiri penghujung, PJ City pula memberikan asakan tetapi pertahanan Perak yang diketuai Shahrul Mohd Saad dan Shakir Hamzah tenang menyerap tekanan.
Keputusan itu kekal hingga tamat permainan untuk menjadi satu-satunya perlawanan pada minggu ini berkesudahan tanpa jaringan.