Pengendali Manchester City, Pep Guardiola berkata Arab Saudi telah mengubah pasaran perpindahan pemain selepas Riyad Mahrez melengkapkan perpindahan 30 juta pound (RM175.48 juta) ke Al-Ahli dengan gaji 750,000 pound (RM4.38 juta) seminggu.

Baca Juga:

Sebelum ini, bintang-bintang Liga Perdana Inggeris lain yang sudah melengkapkan perpindahan ke Arab Saudi iaitu Jordan Henderson, N’Golo Kante, Ruben Neves, Edouard Mendy dan Allan Saint-Maximin.

Guardiola percaya lebih ramai pemain bintang akan berhijrah ke Liga Arab Saudi, sekali gus mencetus masalah buat kelab-kelab besar di England.

“Riyad mendapat tawaran menakjubkan dan sebab itu kami tidak mampu menolaknya. Sudah tentu kami mahu dia kekal di sini.

“Beberapa bulan lalu apabila Cristiano Ronaldo ke sana, ramai yang tidak menyangka pemain-pemain ternama lain akan ikut serta beraksi di liga Saudi. Lebih ramai akan pergi pada masa akan datang dan kelab-kelab perlu berwaspada.

“Saudi bukan lagi satu ancaman, tetapi ia adalah realiti. Mereka mahu menjadikan liga mereka lebih kuat dan setakat ini mereka mampu melakukannya.

“Liga Perdana Inggeris berbelanja besar kerana organisasi ini lebih baik dan bayaran hak penyiaran juga lebih tinggi.

“Liga Saudi, saya tidak tahu berapa lama mereka dapat bertahan. Namun pemain-pemain mahu mengutip pengalaman bermain di liga ini. Arab Saudi sudah mengubah pasaran,” kata Guardiola.

Kementerian Sukan Arab Saudi menyediakan bajet sebanyak £17 bilion (RM99 bilion) untuk kelab Liga Pro Saudi bagi membawa masuk pemain berprofil tinggi sehingga 2030.

Perkembangan itu didedahkan oleh wartawan CBS, Ben Jacobs menerusi laman twitternya.

Kylian Mbappe adalah antara bintang dunia yang menerima bidaan £259 juta (RM1.52 bilion) daripada kelab gergasi Saudi, Al Hilal. Ia adalah rekod dunia dalam sejarah perpindahan pemain bola sepak.

Juara Arab Saudi 18 kali itu turut menawarkan Mbappe tawaran menarik bernilai RM3.5 bilion setahun, yang akan menjadikannya bintang sukan meraih bayaran tertinggi sepanjang zaman.

Perbelanjaan itu tidak akan terhenti di situ dengan Jacobs melaporkan Neymar dan Luka Modric turut menjadi sasaran beberapa kelab Arab Saudi pada musim panas ini.