‘Sudah jatuh ditimpa tangga’, mungkin itulah pepatah yang cukup sesuai untuk dikaitkan dengan kelab saingan Ligue 1, Olympique Lyon.

Tanpa sebarang kemenangan hanya berbekalkan tiga keputusan seri dan enam kekalahan setakat ini, skuad kendalian Fabio Grosso itu terperosok ke tangga terakhir liga.

Keadaan itu disulitkan lagi dengan insiden serangan penyokong Marseille terhadap bas pasukan sehingga menyebabkan Grosso mengalami kecederaan di bahagian muka.

Menurut sumber laporan Goal, pengurus yang merupakan pemenang Piala Dunia 2006 bersama skuad kebangsaan Itali itu telah mengalami luka di bahagian muka hampir 3cm.

Ia berikutan serpihan kaca cermin tingkap bas yang berterbangan setelah terkena hentakan akibat balingan batu oleh segelintir penyokong Marseille tersebut.

Difahamkan, pembantu Grosso turut mengalami kecederaan dan kedua-dua mereka dirawat di bilik persalinan.

Insiden itu berlaku ketika kem Lyon sebaik sahaja tiba di Stade Velodrome bagi menghadapi perlawanan ke-10 Ligue 1 bertemu musuh tradisi tersebut.

Keadaan yang menyebabkan perlawanan melibatkan kedua-dua pasukan terpaksa ditunda meskipun Lyon masih tetap mahu meneruskan aksi tersebut.

“Tidak [ketika ditanya adakah mahu membatalkan perlawanan]. Sangat pantas selepas semuanya berlaku, kami telah mengadakan mesyuarat pasukan,” ujar pemilik pasukan Olympique Lyon, John Textor.

“Pasukan kami memilih untuk bermain. Mereka mahu bermain dan menyatakan sudah bersedia untuk beraksi. Saya sangat berbangga dengan ketua pasukan kerana mahu berbuat demikian.”

“Keputusan telah dibuat secara bebas oleh kami. Kami mahu bermain bola sepak. Kami sangat marah [dengan keputusan penundaan perlawanan],” tambah Textor lagi.

 

Sumber