Penyelenggara Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras, Arcadin Services Sdn Bhd mengesahkan pihaknya telah membuat laporan polis terhadap Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) berikutan dakwaan berunsur fitnah yang dibuat oleh Presidennya, YB Khalid Abdul Samad pada 13 Julai lalu.
Khalid sebelum ini mendakwa pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City) terpaksa ‘merempat’ berlatih di padang di Pudu Ulu selepas tidak dibenarkan menjalani latihan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras.
Beliau juga berkata pihak swasta yang diamanahkan untuk menyelenggara venue berkenaan didapati gagal menunaikan tanggungjawab sebaiknya hingga menimbulkan beberapa masalah terutama ketika saingan Piala AFC bulan lalu.
“Segala dakwaan itu adalah tidak tepat dan berunsur fitnah dengan memberi laporan yang salah kepada pihak media bagi memberi tanggapan buruk ke atas pentadbiran Arcadin di dalam pengurusan stadium.
“Susulan dari itu, satu laporan polis telah dibuat oleh pihak Arcadin pada 13 Julai 2022 ke atas tuduhan tuduhan itu oleh pihak KLFA. Pihak Arcadin menyerahkan perkara ini kepada pihak polis untuk mengambil tindakan yang sewajarnya,”kata kenyataan media daripada Arcadin Services.
Arcadin v KLFA/KLC FC pic.twitter.com/NSqlkFeXUk
— Haresh Deol 🇲🇾 (@HareshDeol) July 22, 2022
Arcadin mendapatkan hak pengurusan kompleks Stadium Bolasepak Kuala Lumpur sejak bulan Julai 2021 daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan matlamat untuk menyediakan kemudahan-kemudahan stadium yang terbaik untuk para pengguna.
Khalid menerusi laporan Arena Metro sebelum ini mendesak agar stadium berkenaan diserahkan semula kepada pihak berkepentingan seperti KLFA atau KL City.
Beliau juga sering menerima aduan daripada ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak yang mengeluh kerana tidak dapat menggunakan stadium tersebut untuk tujuan latihan.Ini kerana keadaan padang di Pudu Ulu tidak begitu memuaskan sehingga mendatangkan kecederaan kepada pemain import pasukan KL City, Paulo Josue.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.
PJ City Tetap Guna Anak Tempatan 100 Peratus Tanpa Kelibat 9 Pemain Import
5 Pemain Lebih Umur Termasuk 3 Pemain Import Dibenarkan Beraksi Dalam Liga Simpanan
Liga Super: Peminat Tidak Setuju Dengan Peraturan 9 Pemain Import
Liga Super 2022: Tandukan Park Taesu Pastikan Terengganu Pulang Tangan Kosong