Liga Malaysia 2023 bakal berwajah baharu apabila Malaysian Football League (MFL) mengorak langkah dengan melakukan penstrukturan semula bagi memastikan liga bola sepak profesional negara itu lebih dinamik dan berdaya saing.
Hasil persetujuan Rakan Kongsi Liga menerusi Mesyuarat Luar Biasa (EGM) yang berlangsung pada hari ini, MFL memperkenalkan penstrukturan semula piramid bola sepak domestik yang lebih relevan dengan arus permodenan bola sepak, aspek komersial dan meletakkan keutamaan kepada pembangunan pemain tempatan bermula musim depan.
Liga Super 2023 yang disertai oleh 18 pasukan turut akan disokong oleh Liga Simpanan (Reserve League) yang menjadi pentas kepada pembangunan pemain bawah 23 tahun (B-23) bagi memastikan jaminan minit permainan berdasarkan kajian MFL di mana pemain-pemain muda tidak mendapat minit di pasukan utama.
Untuk makluman, jarak umur pemain Piala Presiden dan Piala Belia adalah begitu besar dan mantan Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee sebelum ini berkata pada 25 Januari 2022 mencadangkan agar Liga Simpanan ini diwujudkan bagi memastikan perkembangan pemain muda dengan mendapat minit permainan.
Liga Malaysia 2023 bakal berwajah baharu apabila Malaysian Football League (MFL) mengorak langkah dengan melakukan penstrukturan semula bagi memastikan liga bola sepak profesional negara itu lebih dinamik dan berdaya saing.#LigaMalaysia2023
— Malaysian Football League (@MFL_MY) July 20, 2022
Namun begitu, MFL turut memperkenalkan kuota 5 pemain lebih umur termasuk 3 pemain import untuk memastikan kualiti perlawanan Liga Simpanan dipertingkatkan. Tetapi hanya 2 pemain import dibenarkan beraksi di atas padang.
“Setiap pasukan Liga Super akan dibenarkan untuk menyenaraikan lima(5) pemain lebih umur dalam Liga Simpanan tetapi hanya tiga (3) pemain lebih umur termasuk import (maksimum dua (2) pemain) dibenarkan beraksi di atas padang bagi menjamin minit permainan untuk sekurang-kurangnya lapan (8) pemain tempatan B-23 pada setiap masa.
“Slot lebih umur dan kelibat pemain import ini akan mengimbangkan dan meningkatkan penanda aras liga selain menjadi landasan buat pemain B-23 untuk menyesuaikan diri dengan jurang Liga Super.
“Ini juga membuka peluang kepada pasukan Liga Super untuk mengunakan Liga Simpanan sebagai platform pemulihan pemain senior ataupun memastikan pemain pasukan utama diberi peluang pengekalan prestasi,” tulis kenyataan rasmi MFL.
Liga Simpanan ini bukan sahaja perlu dilihat daripada aspek pembangunan sebaliknya Liga Simpanan ini adalah pembaharuan positif untuk pemain tempatan di mana ia akan beroperasi sebagai ‘persediaan pemain’ untuk melangkah ke Liga Super.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia 2023 melalui pautan dibawah.
Pasukan Liga Super Dibenarkan Ambil 9 Pemain Import Mulai Musim Depan