Para peminat bola sepak tempatan kemungkinan akan diberi kebenaran untuk masuk ke stadium dalam saingan Liga Malaysia musim ini selepas pelbagai usaha dan gerak kerja sedang dilakukan oleh pelbagai pihak.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican menerusi laporan dalam Bernama turut memberi bayangan para penyokong bola sepak boleh menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium jika dapat kebenaran rasmi daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada bulan ini.

“Gambaran saya beri ketika pelancaran Liga M baru-baru ini adalah jika kita dapat lakukan (kehadiran penonton ke stadium) dalam sebulan ia adalah bonus.

“Tapi kalau tidak, saya berharap janganlah sampai ia melebihi tempoh dua bulan,” katanya.

Reezal-Merican-bernama_20200311
Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. FOTO: Bernama

Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) dijangka akan membentangkan kebenaran kehadiran penonton ke stadium pada minggu depan manakala badan pengelola liga, Malaysia Football League (MFL) kini sedang memperincikan protokol pengurusan sukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Tarikh tepat (dibentangkan) tak dapat dipastikan lagi kerana mesyuarat MKN ketika ini juga tidak tentu,” katanya kepada pemberita.

Kerinduan hadir ke stadium untuk memberi sokongan kepada pasukan kesayangan masing-masing sudah tentu amat dirasai dalam kalangan peminat-peminat bola sepak negara yang hampir setahun tidak dapat memasuki stadium ekoran pandemik COVID-19.

Pada peringkat awal, kemungkinan hanya 10 peratus penonton daripada jumlah kapasiti stadium dibenarkan masuk dan para penyokong juga tidak diwajibkan membuat ujian calitan COVID-19.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Mutu Pengadilan Dipertikaikan, Melaka United Buat Aduan Rasmi Kepada FAM

Statistik Ringkas Perlawanan Kedua Liga Super 2021

Aksi Bertenaga Izreen Izwandy Dapat Pujian Bojan Hodak

Penyokong Kuala Lumpur ‘Bengang’ Dengan Pengurusan Pasukan, #TAMKeterehOut Jadi Perhatian