Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri menerusi laporan dalam Arena Metro hari ini mengesahkan pihaknya sudah menghantar aduan rasmi tentang mutu pengadilan perlawanan menentang PJ City kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Menurut Saiful, para pemain dan pegawai pasukan Melaka percaya wujud kesilapan oleh pihak pengadil terutamanya pemberian sepakan penalti kepada pihak lawan dan beliau berharap FAM dapat menyiasat perkara itu.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu berakhir dengan keputusan 2-2 dan kedua-dua pasukan mencatat keputusan seri buat kali kedua berturut-turut dalam perlawanan kedua Liga Super musim 2021.

158132257_150050253644370_2828394674456775677_o
FOTO: Melaka United

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dengan beberapa percubaan berbahaya namun gawang tidak dibolosi sepanjang separuh masa pertama.

Perlawanan mula menjadi rancak pada separuh masa kedua dan Melaka United menjaringkan gol pertama selepas S Kumaahran menanduk masuk hantaran lambung Sony Norde dari sebelah kiri pada minit ke-56.

Bagaimanapun, PJ City berjaya menyamakan kedudukan 1-1 menerusi rembatan Darren Lok dari luar kotak penalti pada minit ke-70. Kontroversi mula timbul pada minit ke-80 apabila pihak pengadil memberi sepakan penalti kepada PJ City.

Situasi itu turut mengundang kecaman daripada para peminat bola sepak di media sosial kerana berdasarkan rakaman video, pemain PJ City, Ahmad Khairil Anuar atau dipanggil sebagai Beto jelas melakukan ‘lakonan’ dengan merebah badan tanpa disentuh oleh pertahanan Melaka United.

PJ City kemudiannya mendahului 2-1 selepas Darren Lok menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-86.

Gol itu tidak mematahkan semangat Melaka United untuk terus memburu gol penyamaan dan mereka berjaya menjaringkan gol kedua pada masa kecederaan untuk mengikat kedudukan 2-2 dan membawa pulang satu mata berharga.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Statistik Ringkas Perlawanan Kedua Liga Super 2021

Aksi Bertenaga Izreen Izwandy Dapat Pujian Bojan Hodak

Penyokong Kuala Lumpur ‘Bengang’ Dengan Pengurusan Pasukan, #TAMKeterehOut Jadi Perhatian