Kelab Belgium, KV Kortrijk mengumumkan usahawan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan masih kekal sebagai pemilik kelab selepas proses penjualan saham kepada ahli perniagaan dari Amerika Syarikat, Maciek Kaminski dikatakan gagal memenuhi syarat.

Baca Juga:

Sebelum ini, Vincent dilaporkan membeli kelab tersebut pada tahun 2015 dengan harga 5 juta euro (RM25.05 juta), dan ingin menjualnya kepada Kaminski dengan harga 17.5 juta euro (RM87.68 juta).

Beliau mengambil langkah tersebut untuk membantu KV Kortrijk melangkah ke tahap lebih tinggi dengan pengalaman yang dmiliki oleh Kaminski.

Namun begitu, penjualan itu tidak menjadi kenyataan dan terpaksa dibatalkan sekaligus mengesahkan ia masih milik Vincent Tan.

“Penjualan saham Vincent Tan kepada Kaminski Group secara rasmi dibatalkan. Proses penjualan kelab dihentikan dan Vincent Tan akan terus memberi komitmennya (kepada kelab).

“Sejak beberapa musim sebelum ini, pemilik kelab sudah banyak melakukan pelaburan dalam pelbagai sukan dan bahagian operasi kelab.

“Beliau akan meneruskannya untuk masa yang akan datang seperti pembinaan pusat latihan baru di Kouterveld,” kata kelab itu dalam kenyataan di laman web mereka.

Kaminski sebelum ini turut dikaitkan dengan cubaan memiliki kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Everton pada tahun lalu, namun gagal direalisasikan.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan apakah nasib pemain muda negara, Luqman Hakim Shamsudin yang masih mempunyai kontrak bersama KV Kortrijk dan kini menyertai kelab Iceland, Njardvik FC secara pinjaman tahun ini.

Difahamkan Luqman telah menandatangani kontrak selama 5 tahun bersama KV Kortrijk sejak menyertai kelab tersebut pada tahun 2020.

Vincent Tan sebelum ini menyatakan beliau sudah ada perancangan sendiri untuk menjadikan Luqman sebagai seorang pemain yang lebih relevan bersama kelab itu.