Ketika ada peminat dalam saingan Liga Malaysia yang sudah kembali menjejakkan kaki ke stadium, lain pula ceritanya buat penyokong Kelantan dan Kelantan United.

Penyokong kedua-dua kelab tersebut terpaksa menunggu lebih lama untuk kembali merasai nikmat menyaksikan perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV berikutan masih belum mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri Kelantan untuk membenarkan penyokong ke stadium seperti pasukan lain.

Memetik sumber dikeluarkan My Metro, keadaan tersebut berpunca daripada peningkatan jumlah kes harian COVID-19 di Kota Bharu sekali gus menjadikan Stadium Sultan Muhammad IV sebagai satu-satunya stadium yang tidak dibenarkan untuk menerima kehadiran penyokong.

Perkembangan terkini itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysian Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan ketika bercakap kepada wartawan dalam sidang media bersempena Majlis Sesi Mesra Media di Kelana Jaya, hari ini.

“Memang ada stadium tidak dibenarkan setakat ini Stadium Sultan Muhammad Ke IV tidak boleh ada penyokong. Prosedur Operasi Standard (SOP) itu adalah daripada kerajaan negeri kerana angka kes Covid-19 masih lagi tinggi.”

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, kawasan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) menyaksikan sebanyak 25 peratus atau 8,000 penonton daripada kapasiti tempat duduk penonton atau tertakluk kepada kebenaran penganjur dibenarkan.

Manakala, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pula menyaksikan 10 peratus atau maksima 2,000 penonton dibenarkan.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah ini.

Yee Fatt Gembira Perancangan Berhasil Bantu Perak Tewaskan UiTM

Pemain Kacukan Malaysia-England, Stuart Wilkin Sah Sertai Johor Darul Ta’zim

Dooley, Gamel Masih Di Sri Pahang, Bakal Kemudi Skuad Piala Presiden

Sumber