Ketua jurulatih Perak FC, Chong Yee Fatt sudah pastinya menjadi individu yang cukup gembira dengan kejayaan anak buahnya bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan UiTM FC, 3-2 di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.
Kemenangan itu hadir tepat pada masanya ketika Perak pada ketika ini dibelenggu prestasi kurang meyakinkan dalam saingan Liga Super Malaysia 2021 serta disulitkan lagi dengan masalah tunggakan gaji yang dikatakan menghampiri tiga bulan.
Ketinggalan dua gol menerusi jaringan Nana Poku pada minit ke-20 dan 40, Perak bangkit melawan dengan jaringan di masa kecederaan babak pertama menerusi Raianderson Da Costa Morais (Careca).
Memasuki separuh masa kedua, skuad Yob itu tampil dengan lebih garang untuk mengikat kedudukan hasil sepakan penalti Guilherme De Paula pada minit ke-69 dan kemudiannya Careca muncul wira meledakkan jaringan kemenangan berselang lapan minit kemudian.
Meskipun terdapat beberapa aspek yang jelas menggusarkannya terutamanya keadaan ketika pasukannya ketinggalan, Yee Fatt tetap gembira dengan kemenangan tersebut dan menganggap tuah menyebelahi skuad bimbingannya.
“Perkara ini akan timbul macam tadi [dibolosi], selalunya apabila kita ketinggalan, kita mungkin begitu tertekan untuk menyamakan kedudukan sehingga menyebabkan pemain kami terlalu tergesa-gesa hingga ada ketikanya para pemain berada di luar posisi mereka.”
“Keadaan tersebut berlaku pada hari ini [semalam], jadi saya memberitahu kepada pemain sekiranya situasi sedemikian berlaku, anda tidak perlu terlalu risau, ambil sedikit masa anda.”
“Anda perlu bermain dengan permainan seperti kebiasaan dan terus fokus serta beraksi dengan penuh keyakinan.”
“Saya gembira sebab mereka mendengar apa yang telah kami rancangkan dan kita berjaya mencatatkan kemenangan pada perlawanan ini,” ujar Yee Fatt bercakap kepada wartawan dalam sidang media di Stadium Perak selepas perlawanan malam tadi.
Perak kini menghuni tangga kelapan selepas mengumpul lapan mata hasil dua kemenangan, dua keputusan seri dan tiga kekalahan yang dialami.
Teruskan membaca 3 artikel berkaitan bola sepak tempatan yang telah disediakan seperti dibawah.
Dooley, Gamel Masih Di Sri Pahang, Bakal Kemudi Skuad Piala Presiden
Malaysia Hampir Pasti Bertemu Bahrain, Persiapan Hadapi Baki Kelayakan Piala Dunia 2022