Pengadil dari Malaysia, Muhammad Nazmi Nasaruddin kini berada di Riyadh, Arab Saudi untuk menjalani latihan Video Assistant Referee (VAR) selama 9 hari (2 hingga 10 Ogos 2023).
Baca Juga:
- Hamidin Bertemu Pierluigi Collina Bincang Penggunaan VAR
- FAM Dan MFL Tuntut Ilmu Dengan Singapura Cara Kendalikan VAR
- 6 Pegawai VAR Dalam Insiden Perkauman Ke Atas Vinicius Jr Dipecat
Ia adalah langkah awal yang dilaksanakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi mendapatkan lesen VAR sebelum Ogos 2023. Nazmi berada di bawah bimbingan Instruktur FIFA VAR, Anas Hakan (Australia) dan Farkhad Abdullah (Uzbekistan).
Latihan VAR dijadual akan dilaksanakan di Malaysia bermula Ogos hingga Disember 2023.
Objektif utama pengenalan VAR di Liga Malaysia adalah untuk meningkatkan kualiti Pengadil yang seterusnya akan membantu meningkatkan mutu bola sepak negara.
Pelesenan VAR telah menjadi satu kemestian dan membuka peluang kepada mana-mana pengadil Malaysia yang ingin beraksi di liga tertinggi di peringkat AFC dan FIFA.
Melalui proses ini, ia akan memudahkan Nazmi untuk terus melangkah ke hadapan dan dapat terlibat dalam kejohanan tertinggi di peringkat AFC dalam masa terdekat ini.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin mengucapkan terima kasih kepada Presiden Persekutuan Bolasepak Arab Saudi (SAFF), Yasser Al Misehal kerana memberi peluang kepada pengadil tempatan untuk menjalani latihan VAR di Arab Saudi.
Selain usaha menghantar Nazmi ke Arab Saudi untuk latihan VAR, FAM juga akan melatih sejumlah 20 Pengadil dan 20 Penolong Pengadil dari Kategori A dan A1 termasuk Semua Pengadil FIFA (6 orang), Penolong Pengadil FIFA (8 orang) dan seorang Penolong Pengadil FIFA (wanita).
FAM dengan bantuan FIFA akan melatih pengadil VAR dan dijangka akan melengkapkan pentauliaan pada akhir tahun 2023.
Bagi tahun 2023 ini, pelaksanaan VAR lebih tertumpu kepada Latihan Pengadil, VAR Simulator, ‘Live match training’, pengiktirafan teknologi VAR dan pengiktirafan Stadium yang akan menggunakan VAR.