Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ahmad Faisal Mohd. Piah, melihat langkah diambil Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam penstrukturan hak penyiaran Liga Malaysia sebagai sesuatu yang wajar serta bertepatan pada masanya.
Menurutnya, langkah berani dibuat MFL bertepatan dengan majoriti negara maju lain yang turut mengenakan caj bagi sebarang tontonan dalam kebanyakan sukan-sukan utama seperti tinju dan kriket.
Situasi itu juga secara tidak langsung akan menjana pendapatan secara berterusan kepada semua pihak yang terbabit dengan Liga Malaysia.
Walaupun begitu, beliau berharap MFL mampu bersabar dalam fasa awal pelaksanaan dan yakin dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun, peminat bola sepak negara mampu menerima pendekatan ini sepenuhnya.
Penyokong Bakal Tentukan Hala Tuju Bola Sepak Negara https://t.co/KhWYONtl6g
— VOCKET FC (@vocketfc) July 6, 2019
“Pembayaran atas tontonan ini secara tidak langsungnya sudah banyak digunakan di negara-negara lain, kalau kita perhatikan di Amerika Syarikat, aksi yang melibatkan Super Bowl misalnya selain perlawanan tinju.
“Malahan kriket juga antara sukan yang kenakan caj tinggi jika mahu melanggan, jadi saya tidak fikir kenapa bola sepak yang merupakan sukan rakyat di negara ini tidak boleh berbuat demikian jika dikenakan bayaran berpatutan.
“Jika bayaran dikenakan RM30 ke bawah dan peminat boleh menikmati semua siaran, saya rasa itu langkah yang baik oleh MFL kerana ia mewujudkan situasi menang-menang antara peminat dan persatuan negeri terutama dalam soal meraih pendapatan, ” katanya.
Beliau optimis lambat laun perkara ini akan dianggap sebagai sebahagian budaya oleh majoriti warga bola sepak Liga Malaysia jika mahu membantu kemajuan pasukan.
“Kita ini rakyat Malaysia masih lagi berada di tahap mentaliti segalanya kena percuma, sudah terbiasa daripada dulu lagi dan perkara ini tidak terkecuali.
“Langkah ini dijangka drastik kepada kebanyakan peminat tetapi kita kena bergerak ke hadapan sebagai sebuah negara maju malah ini cara terbaik agar perkembangan bola sepak dapat dibantu daripada semua aspek.
“Kelangsungan dan kestabilan program ini juga perlu sentiasa dipertingkat daripada masa ke semasa agar peminat bersedia menerima pendekatan ini dalam masa yang singkat, ” katanya.
MFL minggu lalu mengumumkan kemasukan rakan kongsi baharu Enervive Consultancy Sdn Bhd (EVC) dalam penstrukturan hak penyiaran Liga Malaysia bermula musim 2020.
Enervive Consultancy Rakan Kongsi Baharu Dalam Penstrukturan Hak Penyiaran Liga Malaysia https://t.co/ocv29tnRLE
— VOCKET FC (@vocketfc) July 4, 2019
Menerusi penstrukturan semula Liga Malaysia ini menyaksikan hak penyiaran Liga Malaysia secara terus kepada pengguna khususnya penyokong bola sepak tempatan.
Ini membolehkan penyokong memainkan peranan dalam membantu pasukan apabila bayaran langganan siaran langsung perlawanan akan terus kepada setiap pasukan.