Beberapa pemegang taruh Malaysian Football League (MFL) memberi pengesahan tidak pernah mendengar sebarang usul khusus untuk memaksa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Kevin Ramalingam melepaskan jawatan menjelang Kongres MFL, tidak lama lagi.
Antaranya Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil, yang menyatakan bahawa mereka tidak ada sebarang masalah mengenai kedudukan Kevin yang disifatkan telah jalankan tanggungjawab dengan baik.
Menurutnya, PBSNT juga sentiasa mendapatkan maklumat secara tepat daripada MFL jika ada sebarang isu berhubung membabitkan Liga Malaysia dengan tidak menjadikan paparan media sebagai rujukan utama.
“Daripada pihak Terengganu, kami tidak ada meletakkan usul agar Kevin melepaskan jawatannya malah buat masa ini, kami juga tidak ada sebarang usul khusus untuk kongres MFL, nanti.
“Kami sendiri sentiasa mendapat maklumat yang tepat kerana ada seorang Ahli Lembaga Pengarah datang daripada Terengganu, jadi kami tidak pernah ada sebarang salah faham dengan MFL.
“Hubungan Terengganu dengan MFL berada di tahap terbaik malah daripada pihak lain pun saya tidak dengar apa-apa berhubung perkara ini (usul Kevin lepaskan jawatan),” katanya.
MFL pada 5 Februari lalu telah meminta semua rakan kongsi menghantar usul dalam tempoh 21 hari bagi kongres yang sepatutnya dijalankan pada April lalu sebelum ditangguhkan ke satu tarikh yang belum ditetapkan.
Setiausaha Agung Felda United, Afizal Abu Othman turut senada apabila menyifatkan agenda sedemikian tidak perlu wujud dan tetap meletakkan kepercayaan tinggi kepada kredibiliti Kevin sebagai CEO MFL.
Meskipun berdepan cabaran termasuk kehilangan penaja utama tahun ini, namun MFL masih berjaya menguruskan Liga Malaysia bukan saja dengan lancar malah bertambah meriah dari segi sambutan penyokong serta siaran langsung setiap perlawanan.
Bagi pihak Felda United sendiri, tiada sebab untuk mereka mengusulkan cadangan sebegitu sambil menyifatkan ia berkemungkinan hanyalah satu spekulasi yang sengaja diperbesarkan.
Jelasnya paling utama ketika ini adalah sokongan berterusan yang perlu diberikan kepada MFL dalam memastikan segala perancangan dalam mendapatkan pelabur ketika ini berjalan lancar dan tidak akan terjejas gara-gara isu seperti itu.
“Tak ada pernah dengar pun pasal isu nak singkirkan Kevin dan kita sendiri sebagai pemegang taruh pun belum sampai tahap sebegitu lagi nak usulkan cadangan sebegitu terhadap MFL.
“Bagi saya, isu sebegini suka diperbesarkan dan hakikatnya, kami di Felda United pun tidak pernah mempunyai apa-apa masalah besar dengan Kevin kerana kerjasama antara MFL pun amatlah baik.
“Harapnya benda-benda macam tu tak perlulah digembar-gemburkan sangat kerana ia hanya menjejaskan lagi perancangan MFL sekarang ni”, katanya.