Penyerang import UKM FC, Mateo Roskam menghamburkan pujian kepada rakan sepasukan yang membuktikan reputasi serta pemain berstatus bintang bukanlah jaminan dalam mencipta kejayaan selepas mereka mengejutkan pasukan Liga Super, Kuala Lumpur,3-0 pada aksi ketiga Kumpulan B Challenge Cup.
Walaupun skuad UKM dibarisi 70 peratus pelajar sepenuh masa serta tanpa nama besar dalam kancah Liga Malaysia, itu bukan halangan buat UKM meraih kemenangan kedua dalam Challenge Cup sekaligus mengukuhkan peluang ke separuh akhir.
Roskam berkata: “Semua orang tahu mereka (Kuala Lumpur) ada ramai pemain ternama dan begitu dikenali namun kami membuktikan kita ada jiwa yang besar dan sentiasa ada sifat mahu mencabar.
“Maka sebarang nama atau reputasi itu tidak beri sebarang makna sebaliknya kita yang menunjukkan yang kita ada kualiti dengan meraih kemenangan cukup penting, hari ini.
“Lawan mungkin ambil sedikit mudah terhadap kami kerana mereka datang dari Liga Super tetapi perkara itu menjadikan kami lebih bermotivasi dan apa paling penting tiga mata ini letakkan kami makin hampir ke separuh akhir, ” katanya.
Ketiadaan ketua jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin yang menghadiri kursus kejurulatih Lesen Pro tidak mematahkan semangat pembantunya, Juzaili Samion yang terharu melihat kesungguhan anak buahnya melakar kemenangan.
Juzaili berkata: “Walaupun Sulaiman tiada di sini beliau sentiasa berhubung dengan saya dalam memberikan nasihat dan panduan taktikal yang beliau mahukan, jadi itu bukan satu masalah.
“Semua pemain mengikuti pelan yang kami tetapkan dan saya sama sekali tidak menduga kami menang dengan angka sebegini, jadi kami amat bermotivasi untuk melakar sesuatu musim ini dan mahu menjejak kaki ke final sekali lagi,“ katanya.
Di kem Kuala Lumpur, Rosle Md. Derus kecewa aksi longlai dipamer pemain yang langsung tidak menunjukkan tahap disiplin dimahukan di bahagian pertahanan ketika mereka leka menyerang.
Melalui sekadar kutipan tiga mata daripada tiga perlawanan, Rosle masih mengharap keajaiban mampu berlaku memandangkan matlamat asal Kuala Lumpur adalah bergelar juara Challenge Cup.
“Pemain terlalu ghairah menyerang yang menyebabkan kami sering kali dihukum menerusi serangan balas UKM bila kehilangan bola, di sinilah masalah utama pasukan , malah kami tidak sepatutnya kalah dengan angka jaringan sebegini tetapi inilah bola sepak.
“Platform Challenge Cup ini sepatutnya digunakan sebahagian besar pemain untuk memasarkan diri mereka bagi musim depan tetapi sayang jika mereka tidak ambil peluang ini selain satu kerugian kepada pasukan yang ada sasaran tersendiri,” katanya.