Niat untuk membantu abangnya dalam perniagaan menjual “Cornflakes Salted Egg” tampak semakin membantu pemain tengah UiTM FC, Shahrul Igwan Samsudin dalam mengharungi hari-hari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jelasnya, perniagaan yang dimulakan oleh abangnya, Shahrul Erwan sejak lima bulan lalu semakin mendapat perhatian dan pemain berusia 26 tahun itu dalam masa yang sama tidak ketinggalan untuk membantu sebelum tempoh PKP ini bermula lagi.
Dan, sekarang Shahrul merasakan ini adalah masa yang sesuai untuknya mengembangkan lagi perniagaan tersebut bagi mencari wang poket yang sedikit sebanyak dapat membantu dirinya apatah lagi selepas saingan liga ditangguhkan akibat penularan wabak COVID-19 dan kini mempunyai banyak masa terluang untuk mencari wang sampingan.
“Perniangaan abang ini masih baru lagi dan saya juga sebelum ini banyak tolong dia apabila ada masa terluang sebab kena fokus dengan pasukan juga.
“Tetapi sekarang apabila ada kawalan pergerakan, memang banyak masa terluang dan saya memang iklankan di sosial media sahaja memandangkan ramai yang habiskan masa di rumah melayari internet.
“Seperti orang lain, saya juga sedikit sebanyak terkesan kerana saingan ditangguhkan, tetapi saya tidak boleh duduk diam dan tetap melakukan latihan di rumah dan paling penting, kena sentiasa pandai cari peluang untuk mencari wang sampingan.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan kehidupan perlu diteruskan untuk kita sentiasa mencari rezeki dan berharap semoga apa yang terjadi ini segera pulih”, katanya.
Selaku pemain UiTM FC, Shahrul tidak ketinggalan untuk memberi kata-kata semangat buat semua pelajar yang masih berada di kampus disebabkan oleh kawalan pergerakan ini.
Apa yang pasti, segala yang berlaku ini turut ditempuh oleh semua orang tidak kira golongan dan mengharapkan semua pelajar terus kuat untuk menempuh hari-hari mendatang demi keselamatan diri masing-masing.
“Untuk pelajar-pelajar khususnya pelajar UiTM yang berada di kampus, sentiasa mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi dan ikutlah garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak universiti dan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia).
“Sentiasa positif dan anda semua kena kuat untuk menghadapi situasi ini kerana bukan sahaja negara kita malah seluruh dunia turut terkesan.
“Sama-sama kita berdoa agar keadaan kembali pulih kerana kami juga ingin kembali beraksi di padang dan ingin melihat anda semua tetap semangat datang menyokong di stadium selepas ini,” jelasnya.
Sebelum ini, nama Shahrul dalam arena bolasepak seakan-akan tenggelam timbul khususnya ketika dia bersama pasukan Kedah pada musim lalu apabila langsung tidak diturunkan dalam skuad utama.
Ditagih untuk membantu skuad UiTM FC pada musim ini ibarat satu peluang baru buat dirinya tetapi sudah pasti memerlukan kerja keras untuk menambat hati pengendali, Frank Bernhardt.
UiTM FC tampak agak bergelut apabila baru memenangi satu perlawanan untuk menduduki tangga kesembilan liga selepas empat perlawanan setakat ini.
Teruskan membaca 3 artikel padu lain berkaitan bola sepak dibawah yang dipilih untuk anda.
‘Ekor’ Harimau Malaya Terlalu Bising Di Stadium, Hampir Mustahil Untuk Dengar Arahan Dalam Padang
Bapa Chanathip Songkrasin Dedahkan ‘Kitab’ Asas Bola Sepak Anaknya, Fans Manchester United Rupanya
Siapa Sebenarnya ‘Funder’ Untuk Bayar Gaji Park Hang-seo Berjumlah RM217,000 Sebulan?