Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kedah Darul Aman FC (KDA), Khamal Idris Ali mengesahkan para pemain dan jurulatih pasukan itu bakal diberikan bonus selepas berjaya mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) 3-3 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman semalam.

Baca Juga:

Khamal mengakui terkejut dengan persembahan skuad kendalian Nafuzi Zain dan Kedah merupakan satu-satunya pasukan yang berjaya mencatat keputusan seri ke atas juara bertahan Liga Super itu.

Menurutnya, walaupun ia berakhir dengan keputusan seri namun pihaknya tetap memberikan bonus sebagai motivasi tambahan untuk pemain mengekalkan momentum pada perlawanan seterusnya.

“Memang kalau menentang JDT ada bahagian berbeza dari pasukan-pasukan lain. Selalunya kita bagi bonus jika pasukan menang sahaja tetapi untuk malam ini bonus kita bagi juga walaupun seri.

“Mereka bermain dengan berdisiplin dan mengikut arahan dengan baik. Terkejut juga la dengan prestasi pemain. Alhamdulillah, kita dapat hasil yang baik,” kata Khamal dalam sidang media selepas tamat perlawanan.

Berita gembira tersebut sudah pasti memberikan suntikan semangat kepada para pemain Kedah untuk memburu tiga mata penuh menentang pasukan lain.

Hanya berbaki 5 perlawanan lagi, Kedah kini mengutip 44 mata dan berpeluang memintas pencabar terdekat, Selangor yang berada di kedudukan kedua dengan 49 mata.

Pada aksi yang cukup sengit tersebut, Kedah mendahului 2 gol hasil tandukan Ifedayo Olusegun pada minit ke 35 sebelum kapten pasukan, Manuel Ott menambah gol kedua pada minit ke 49 menerusi rembatan leret hasil hantaran cantik Manuel Hidalgo.

Bagaimanapun, jaringan itu tidak mematahkan semangat pemain JDT yang bangkit menyamakan kedudukan menerusi Corbin Ong selang 3 minit kemudian dan pemain importnya, Heberty Fernandes yang merembat masuk pada minit ke 55.

Pemain sayap prolifik, Arif Aiman kembali meletakkan JDT di depan pada minit ke 73 hasil rembatan kencang di bahagian kiri gawang Kedah sekali gus menjadikan kedudukan berubah 3-2.

Kedah bagaimanapun melakukan kejutan pada minit akhir perlawanan apabila pemain gantian, Amirbek Juraboev menyudahkan hantaran daripada Manuel Hidalgo bagi menyamakan kedudukan 3-3.

Keputusan seri itu bermakna JDT terpaksa menunggu sedikit masa lagi untuk bergelar juara Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut selepas mengumpulkan 61 mata dalam 21 perlawanan yang diharungi musim ini.