Kelab Bola Sepak Kelantan (TRW Kelantan FC) sepatutnya melancarkan jersi baharu dan memperkenalkan pemain mereka pada hari ini namun ia terpaksa dibatalkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan oleh kerajaan sehingga 18 Februari ini.

Perkembangan itu disahkan melalui laman facebook rasmi TRW Kelantan FC dan mereka akan mengumumkan satu tarikh baharu kepada para penyokong setia.

“Pihak kelab menghormati PKP 2.0 yang telah dilanjutkan oleh kerajaan sehingga 18 Feb 2021. Para pegawai kelab juga kini sedang bekerja dari rumah demi mengikuti saranan kerajaan dalam menjaga kesihatan masing-masing dan dan dalam usaha memutuskan rantaian Covid19.

“Oleh kerana kekangan ini, pelbagai aktiviti berkaitan tidak dapat dijalankan dengan baik dan kami memohon maaf terpaksa mengumumkan untuk menunda program yang dirancang pada hari ini ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak bergantung kepada kawalan pergerakan yang diumumkan kerajaan nanti.

“Pihak kelab berharap, semua penyokong dapat memahami keadaan ini dan kesukaran dalam kawalan pergerakan yang telah dijalankan ketika ini,” kata kenyataan rasmi daripada TRW Kelantan FC.

Bagaimanapun, terdapat juga cadangan daripada peminat yang menyarankan agar setiap pasukan Liga Malaysia menggunakan kaedah lain dalam pelancaran jersi dan pengumuman pemain iaitu secara digital serta rakaman video di media sosial.

Cadangan tersebut dilihat relevan dengan situasi semasa wabak pandemik bagi menjimatkan kos sambil mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) seperti penjarakan fizikal.

Selangor FC adalah contoh pasukan yang berjaya melaksanakan kaedah tersebut apabila mereka berjaya menjual 6000 jersi dalam tempoh 48 jam.

Pelancaran jersi Home Selangor 2021 juga telah mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila telah berjaya menarik sebanyak lebih 6,300 tontonan secara langsung sewaktu ia dilancarkan secara atas talian di platform Facebook Selangor FC (SFC).

Baca artikel lain mengenai perkembangan Selangor seperti dilaporkan oleh Vocket FC sebelum ini. 

Laku Keras! 6000 Helai Jersi Home 2021 Selangor Sudah Habis Dijual Dalam Tempoh 48 Jam

Lelaki Poland Ini ‘Exchange’ Jersi AS Roma Dengan Rakannya Untuk Miliki Jersi Selangor Musim 2013

RASMI: Selangor FC Lancar Jersi Home 2021 Diinspirasikan Daripada Rekaan Tahun 1986