Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba mengakui beliau kecewa apabila gagal membantu The Red Devils menjuarai trofi Liga Europa 2020/21 di Poland, semalam.

Aksi 120 minit berkesudahan terikat 1-1 bagi menyaksikan pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti yang menjurus kepada 11 pemain terpaksa mengambil sepakan.

Seperti diketahui, sepakan ke-11 yang diambil David De Gea berjaya ditepis keluar penjaga gol Villarreal, Genorimo Rulli sekali gus menghadiahkan kejuaraan Liga Europa pertama dalam sejarah kelab La Liga itu.

Keadaan itu juga menyebabkan Manchester United ketandusan kejuaraan buat musim keempat berturut-turut setelah kali terakhir mereka meraih kejayaan adalah menjulang trofi Liga Europa dan Piala Carabao 2016/17.

Sehubungan dengan itu, Pogba yang menjaringkan gol pembukaan ketika Manchester United menundukkan Ajax pada perlawanan akhir Liga Europe 2016/17 yakin kelab tersebut akan bangkit dengan lebih hebat.

“Saya memerlukan beberapa hari untuk memikirkannya selepas perlawanan. Sudah tentu saya sangat kecewa kerana tidak dapat memenangi perlawanan tersebut.’’

“Tetapi kami tidak akan tunduk dan akan memandang ke hadapan,’’ ujar Pogba menurut laporan dikeluarkan Goal.

“Terima kasih kepada semua penyokong kerana memberikan sokongan. Kami akan bangkit dengan lebih hebat selepas ini.”

Meskipun terus kempunan untuk menjulang trofi pada musim ini, Manchester United masih boleh berbangga dengan pencapaian menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris 2020/21 di tangga kedua, ketinggalan 12 mata di belakang musuh setempat, Manchester City.

Baca artikel lain mengenai Paul Pogba:

Pogba Mahu Saman The Sun Kerana Laporan Tak Berasas

Pogba Terbuka Kutuk Cara Mourinho Dan Memuji Pengurusan Ole

United Sedia Tawar Kontrak Baharu, Raiola Mahu Pastikan Pogba Dapat £400K Seminggu

Sumber