Kelab Futsal Pahang Rangers telah memperkenalkan secara rasmi jersi Desporte ‘home dan away’ baharu yang akan digunakan bagi menghadapi saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim 2023, petang semalam.
Baca Juga:
- Selangor MAC, Pahang Rangers Rekrut Pemain Kelab Liga Super Futsal Iran
- Matheus Gonzalez Perkuatkan Skuad Pahang Rangers
- Piala Futsal Malaysia: Dominasi Berterusan Selangor MAC, Pahang Rangers Hampa Lagi
Majlis pengenalan telah berlangsung di hadapan lebih 500 penyokong di Stadium Tertutup Sukpa, serentak dengan penganjuran Hari Ghodong Pahang Rangers dan Pelancaran Kad Ghodong sebaik sahaja tamat aksi persahabatan menentang Selangor TOT United.
Mengambil inspirasi dari warna bendera Pahang dan selari dengan tagline ‘Hitam Putih Takkan Padam’, jersi ‘home’ ini kekal dengan identiti dan warna tradisi hitam putih, melambangkan kesatuan 11 daerah di Pahang.
Manakala jersi ‘away’ pula merupakan gabungan warna biru-putih-kuning, warna vintage yang mempunyai sentimen tersendiri buat penyokong, mengimbau memori skuad tok gajah era 90-an.
Jersi boleh didapati pada harga RM129 dengan para penyokong boleh membuat pembelian melalui laman sesawang Pahang Rangers Online Store atau mengunjungi pengedar berdaftar (akan dikemaskini).
Sebagai makluman, ini adalah musim pertama kelab ini mengenakan kit tajaan Desporte sejak pasukan ditubuhkan pada 2016.
Presiden Pahang Rangers, YAM Tengku Arif Temenggong, Tengku Fahad Mua’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah antara yang hadir pada majlis tersebut, bersama-sama Jawatankuasa Pengurusan pasukan.
Sementara itu, Pahang Rangers turut memperkenalkan ‘Kad Ghodong’ sebagai tanda terima kasih kelab tersebut buat para penyokong yang setia di belakang pasukan.
Dengan pembelian berharga RM30.00 itu, pemegang kad akan mendapat keistimewaan diskaun 10 peratus bagi pembelian jersi serta ‘merchandise’ pasukan.
Selain itu, mereka juga mendapat kelebihan untuk membeli tiket perlawanan yang berlangsung di Kompleks SUKPA sehari lebih awal.