Baru-baru ini peminat bola sepak tempatan menggesa pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memanggil bintang muda negara, Luqman Hakim untuk memperkuatkan pasukan bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Malah, mereka turut membandingkan dengan langkah Thailand memanggil pemain berusia 17 tahun, Suphanat Mueanta bagi mengukuhkan hujah mereka mengenai kemasukan penyerang muda menggantikan tempat Norshahrul Idlan Talaha.

Bagaimanapun, pengendali skuad bawah 23 tahun Malaysia (B-23), Datuk Ong Kim Swee tidak setuju dengan cadangan penyokong dan meminta mereka bertenang kerana Luqman belum mempunyai kelab profesional beraksi dalam saingan liga kompetitif berbanding Suphanat yang kini mewakili kelab Buriram United.

Katanya dalam Bernama, beliau ingin melihat perkembangan prestasi Luqman serta beberapa pemain muda berpotensi negara yang lain secara berperingkat.

“Biar Luqman dan barisan pemain B-18 yang lain melalui kelayakan Kejuaraan B-19 AFC, kita jangan ganggu persiapan mereka kerana ia lebih penting di mana kalau layak ini akan memberi peluang yang lebih baik untuk mereka bersama skuad Sukan SEA sebagai permulaan.

“Saya tak setuju kalau kata Luqman terus pergi beraksi dengan skuad kebangsaan, biar dia naik secara berperingkat,” katanya kepada pihak media.

Datuk Ong Kim Swee
FOTO: NSTP/Hasriyasyah Sabudin

Ong Kim Swee juga bimbang dengan liputan meluas daripada media terhadap pemain muda kerana akan menggangu fokus mereka menjelang pusingan kelayakan Kejuaraan AFC B-19 2020 di Kemboja pada 2 November ini.

Pasukan Malaysia B-19 yang dikendalikan oleh Brad Maloney merupakan satu-satunya harapan negara untuk beraksi di pentas Asia setelah peminat melihat kegagalan skuad Malaysia B-16 dan Malaysia B-23 menempah tiket ke kejohanan AFC.

“Saya tahu semua pemain mahu bermain dalam Sukan SEA tetapi kelayakan Kejuaraan B-19 AFC itu perlu menjadi keutamaan di mana skuad B-16 dan B-23 kita telah gagal, jadi sekurang-kurangnya kita mahu satu pasukan negara untuk layak.

“Mereka ini juga akan jadi pemain generasi seterusnya yang akan berjuang dalam kelayakan Sukan Olimpik 2024 jadi kalau mereka layak ke Kejuaraan AFC B-19 2020 ia menjadi platform pendedahan yang sangat bermakna,” tambah Kim Swee.

Baca artikel menarik mengenai perkembangan bintang muda negara, Luqman Hakim melalui pautan artikel di bawah.

Kos Untuk Melahirkan Seorang ‘Luqman Hakim’ Ialah Sekitar RM50,000 Setahun

Luqman Hakim Sebaris Dengan Pemain FC Barcelona, Ansu Fati Dalam Senarai 60 Pemain Muda Paling Berbakat Dunia

Berapakah Gaji Sebenar Yang Akan Diterima Oleh Luqman Hakim Bersama KV Kortrijk?

Sumber