Penyerang Brazil dan Paris Saint-Germain (PSG), Neymar Jr dilaporkan telah bersetuju untuk menyertai kelab gergasi Arab Saudi, Al-Hilal menurut laporan akhbar Perancis, L’Equipe.

Baca Juga:

Al Hilal merupakan musuh utama kelab Cristiano Ronaldo, Al-Nassr, kehadiran pemain itu bakal menjadikan saingan Liga Pro Saudi musim ini lebih sengit.

“Neymar setuju untuk beraksi bersama Al-Hilal dengan menandatangani kontrak dua tahun. PSG dan kelab Saudi itu berunding terma perpindahan penyerang Brazil,” menurut laporan akhbar itu semalam.

Laporan itu menyebut Neymar bakal menerima lebih 160 juta euro (RM805 juta) di Al Hilal dengan kontrak selama 2 tahun selepas menghabiskan enam tahun bermain di ibu negara Perancis.

Neymar menyertai PSG pada tahun 2017 dari Barcelona dengan rekod perpindahan dunia ketika itu 222 juta euro (RM1.12 bilion). Bintang Brazil itu mewakili kelab Paris sebanyak 112 kali, menjaringkan 82 gol.

Beliau mengikut jejak Sergio Ramos dan Lionel Messi tinggalkan PSG apabila wakil Al Hilal terbang ke Paris untuk mengadakan perbincangan bersamanya.

Gergasi Arab Saudi itu sebelum ini mensasarkan Messi namun kapten Argentina itu lebih memilih untuk ke Amerika Syarikat.

Justeru, Al Hilal mengalihkan tumpuan kepada Neymar dan bersedia menawarkan gaji yang jauh lebih lumayan.

Sebelum ini, pemain dari Brazil itu turut dikaitkan dengan perpindahan ke Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan Manchester United, Chelsea dan Newcastle dikatakan berminat untuk memancingnya.