Teka-teki mengenai siapa yang akan menggantikan Lim Teong Kim sebagai Pengarah Teknikal Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bakal terjawab dalam masa terdekat apabila Majlis Sukan Negara (MSN) selaku salah satu agensi pengendali program itu sudah mempunai senarai pendek beberapa calon yang akan dibawa masuk.
MSN menerusi Pengarah Bahagian Atlet, Jefri Ngadirin menegaskan beberapa calon berpotensi sudah dikenalpasti untuk mengisi jawatan penting itu dan pihaknya mungkin akan membuat perubahan khususnya membabitkan jawatan Pengarah Teknikal NFDP bagi memantapkan lagi program tersebut.
Jefri berkata: Kita sudah berbincang dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan MSN. Pengumuman rasmi akan dibuat oleh menteri sendiri nanti.
“Tetapi apa yang boleh saya katakan, ia adalah satu berita baik di mana perkembangan ini di dapat memberi penambahbaikan daripada struktur yang ada sekarang. Ia kombinasi antara tempatan dan import. Perubahan ini cukup penting di mana kita akan laksanakan dan lengkapkan apa yang FAM sudah lakukan dengan Peta Hala Tuju F:30 dan kita akan bekerjasama dengan mereka,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Kedudukan Lim Teong Kim sebagai Pengarah Teknikal AMD dipertikai setelah kegagalan skuad B-16 tahun negara yang dibarisi oleh pemain daripada program NFDP layak ke pusingan akhir Piala Dunia Bawah 17 tahun (B-17) di Brazil, tahun ini. Pasukan negara menamatkan saingan AFC B-16 tahun pada 2018 lalu di peringkat kumpulan.
Bagaimanapun, FAM pada Februari lalu mengambil keputusan untuk menilai semula kontrak Teong Kim bagi mengekalkan khidmat bekas pengendali skuad remaja Bayern Munich itu sehingga Piala Dunia 2030.