Selangor TOT United menjadi pasukan pertama melayakkan diri ke separuh akhir Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 selepas berjaya menundukkan Pulau Pinang 2-1 pada aksi suku akhir kedua yang berlangsung di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam sebentar tadi.

Kemenangan menerusi agregat 4-2 tersebut juga menyaksikan skuad kendalian Patt Sriwijit itu akan menanti pemenang antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sabah yang akan beraksi malam nanti.

Membawa bekalan satu gol hasil kemenangan 2-1 di Balik Pulau minggu lalu, Selangor TOT United hanya memerlukan lima minit untuk membuka tirai jaringan.

Gol tersebut berpunca daripada serangan dari sebelah kiri pintu gol Pulau Pinang dimulakan Antonio Massanori Hirata Neto yang membuka ruang buat Iqhmal Najmi Ismail untuk menolak masuk bola ketika percubaan pertamanya dinafikan penjaga gol lawan, Syahman Idris bagi meletakkan tuan rumah dihadapan.

Tidak sampai seminit, Iqhmal hampir menambah jaringan kedua tetapi tolokannya selepas melepasi Syahman tidak tepat ke gawang Pulau Pinang.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Pulau Pinang tampil lebih baik untuk mengancam kubu Selangor TOT United tetapi penjaga gol, Helmi Imran Mohd Nor tangkas menghalang gawangnya daripada dibolosi.

Pelawat turut mendapat peluang menerusi sepakan penalti kedua ‘second spot’, namun percubaan Razin Rahim serta rembatan jarak dekat susulan serangan balas pantas oleh Saman Dashan sekadar singgah di tiang gol.

Tindakan Pulau Pinang menggunakan taktikal ‘powerplay’ jelas memakan diri selepas Helio Neto merampas bola daripada kaki Shazwan Musa lalu mudah menolak masuk bola untuk gol kedua Selangor TOT United.

Jaringan yang dinantikan Pulau Pinang akhirnya hadir pada minit ke-35 selepas Sirhan Aiman menyudahkan peluang terhidang susulan situasi sepakan percuma.

Gol itu nyata menyemarakkan lagi api perjuangan Pulau Pinang namun banyak peluang dimiliki terutamanya menerusi Faizul Azuan Ramli Sharip gagal menemui sentuhan jaringan.

Aksi separuh akhir pertama melibatkan Selangor TOT United dijadualkan berlangsung pada 24 Julai nanti dimana pusingan pertfama diadakan di Shah Alam.