Selangor TOT United mempamerkan aksi kemas untuk meraih kemenangan pada aksi sulung kumpulan B Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 selepas menundukkan Kuala Lumpur 4-1 pada perlawanan yang berlangsung di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam sebentar tadi.

Artikel Berkaitan:

Diperkuatkan dengan kehadiran dua pemain import iaitu Helio Raimundo Carneiro Neto dan Phukan Dongdang, Selangor TOT mempamerkan aksi tersusun dalam usaha untuk memburu kemenangan.

Yazid Kamaruzuan mendapat dua peluang pada minit ketiga untuk menghasilkan gol pembukaan tetapi rembatan kaki kirinya dinafikan oleh penjaga gol Kuala Lumpur, Muhammad Anas Shafiee.

Ketua pasukan Selangor TOT United itu menebus kehampaan tersebut berselang seminit kemudian apabila beliau melakukan percubaan tonjol yang menewaskan Anas selepas menerima umpanan daripada Phukan untuk memisahkan kedua-dua pasukan.

Kuala Lumpur yang sesekali mendapat peluang terutamanya menerusi serangan balas pantas berjaya mengikat kedudukan pada minit kesembilan menerusi sepakan penalti Irsyad Ruzain Zamri.

Memasuki minit ke-12, Selangor TOT United kembali berada dihadapan apabila Helio Neto dengan tenang melakukan percubaan susulan lorongan baik dilakukan Farikh Khabibor Rahman.

Berpunca daripada sepakan penjuru, kedudukan berubah lima minit kemudian setelah Phukan Dongdang tidak berdepan masalah menolak masuk bola untuk menewaskan Anas,

Ketika aksi babak pertama sudah semakin hampir untuk ditamatkan, kecuaian Anas dihukum Yazid yang menyempurnakan peluang bagi menjadikan kedudukan 4-1.

Permainan di babak kedua memperlihatkan Kuala Lumpur lebih berdisiplin ketika bertahan hingga menyukarkan pemain Selangor TOT United daripada menambah jaringan.

Kedudukan tersebut kekal hingga tamat permainan untuk menghadiahkan tiga mata penuh buat Selangor TOT United.