Shah Alam City kembali mencatatkan kemenangan dalam aksi Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 apabila berjaya menundukkan Selangor TOT United 4-2 di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam sebentar tadi.
Kemenangan itu membuatkan persaingan kumpulan B semakin mendebarkan dengan Shah Alam City terikat enam mata bersama Johor Darul Ta’zim dan Selangor TOT United manakala Selangor MAC kekal sebagai pendahulu dengan kelebihan tiga mata berbanding tiga pasukan tersebut.
Pemain import dari Brazil, Wellington Pereira Rodrigues Adao menjadi duri dalam daging buat Selangor TOT United apabila beliau meledakkan hatrik untuk menghadiahkan kemenangan kedua buat Shah Alam City itu.
Tuan rumah berada dihadapan pada minit kelima selepas Wellinton pantas melakukan sepakan tonjol untuk menewaskan penjaga gol, Syafiq Hamzah susulan kesilapan pemain Selangor TOT United di kawasan sendiri.
Selangor TOT United yang dibimbing Patt Sriwijit kemudiannya mendapat deretan peluang untuk menyamakan kedudukan tetapi penyudah kurang berkesan menggagalkan usaha hebat mereka.
Kesempatan itu diambil Shah Alam City bagi menambah jaringan kedua hasil sepakan sudut Zainal Abidin Hamzah yang membias terkena Azlan Nasti Azwar dan kemudiannya bola masuk ke gawang sendiri pada minit ke-20.
Ketika aksi babak kedua hanya beberapa saat untuk ditamatkan, Helio Neto menyempurnakan sepakan penalti kedua (Second Spot) selepas Shah Alam City melakukan enam kekasaran terkumpul.
Belum sempat Selangor TOT memperkemaskan aksi pada babak kedua, Wellington menambah gol ketiga dengan satu rembatan hasil serangan balas pantas bagi mengukuhkan kedudukan.
Tuah nyata tidak menyebelahi Selangor TOT United apabila peluang-peluang yang dijelmakan selepas itu gagal diterjemahkan kepada jaringan.
Taktikal ‘Power Play’ diterapkan Selangor TOT membuahkan hasil pada minit ke-40 apabila Yazid Kamaruzuan menyempurnakan peluang terhidang.
Hanya beberapa saat permainan untuk ditamatkan, Wellington melengkapkan hatrik selepas mengambil kesempatan di atas kesilapan pemain Selangor TOT ketika permainan ‘Power Play’ untuk perlawanan berkesudahan 4-2 memihak skuad kendalian Fitri Yatim itu.