Luka Modric mengesahkan dia tidak akan bersara dan sedia mewakili negaranya setiap kali diperlukan. Kenyataan itu disambut baik ramai peminat Croatia kerana Modric terus membuka pintu hatinya untuk negaranya.

Baca Juga:

Luka Modric gembira dan terharu melihat sambutan rakyat Croatia menyambut kejayaan mereka.

Bunga api dinyalakan di langit ibu kota Croatia, Zagreb dan banyak bandar lain di negara itu yang meraikan kejayaan Croatia dengan gembira dalam penentuan tempat ketiga.

Modric kemudian bertekad mahu terus mewakili negaranya.

Pemain berusia 37 tahun itu mengetuai Croatia meraih pingat gangsa di Piala Dunia pada hari Sabtu lalu dan mendedahkan dia akan melanjutkan karier antarabangsanya hingga 2023 dalam usaha untuk membantu negaranya memenangi  Liga Negara-Negara Eropah.

Modric memenangi cap ke-162 dalam kemenangan 2-1 ke atas Maghribi, empat tahun selepas membantu negarany menjadi naib juara Piala Dunia 2018 di belakang Perancis.

Croatia kini akan cuba memenangi kejuaraan Liga Negara-Negara Jun depan dalam perlawanan akhir empat pasukan yang turut menampilkan Belanda, Itali dan Sepanyol.

“Itu perancangan saya sekarang,” kata Modric ketika ditanya sama ada dia berhasrat untuk terus bermain bola sepak antarabangsa.

“Adalah mengarut jika tidak bermain dalam Liga Negara-Negara Eropah, dan kemudian kita akan lihat bagaimana untuk meneruskan. Saya pasti mahu kekal untuk Liga Negara-Negara Eropah.”

Modric menyatakan bahawa dia bangga kerana membantu negaranya Croatia menjadi salah sebuah pasukan digeruni di dunia dan kuasa baru.

Mereka menamatkan saingan Piala Dunia di podium untuk 2 edisi berturut turut.

“Kami mencapai sesuatu yang besar untuk bola sepak Croatia. Kami mahukan emas, kami sudah menghampirinya,” katanya kepada penyiar HRT.

“Akhirnya, kami tetap akan kembali ke Croatia dan sebagai pemenang pingat. Croatia bukanlah satu keajaiban yang muncul setiap 20 tahun.”

“Kami membuktikan bahawa kami adalah projek berterusan, bahawa kami tidak boleh dilihat sebagai kuda hitam tetapi sebagai kuasa bola sepak.”

Biarpun Modric berhasrat untuk terus bermain di peringkat antarabangsa, jurulatih Zlatko Dalic mengakui masa semakin menuju ke penghujungnya untuk Modric dan beberapa pemain senior lain.

“Ia adalah penghujung kitaran. Ia adalah Piala Dunia terakhir untuk beberapa pemain yang sudah berusia,” kata jurulatih itu  yang sedang mempersiapkan pasukannya untu kelayakan Euro 2024 yang bermula pada Mac.

“Tetapi kami mempunyai pemain muda yang sangat bagus yang memberi harapan, (Josip) Stanisic, (Mislav) Orsic, ramai pemain yang berada di bangku simpanan.”

“Kami mempunyai pasukan yang sangat baik untuk masa depan.”

“Croatia tidak perlu takut dengan generasi ini. Apa yang menanti kami ialah Liga Negara Negara Eropah, dan kelayakan Euro.”