Sepanyol terpaksa mengerah keringat sehingga ke masa tambahan sebelum berjaya mencatatkan kemenangan 5-3 ke atas Croatia pada aksi pusingan 16 Kejuaraan Euro 2020 yang berlangsung di Stadium Parken, Copenhagen sebentar tadi.
Anak buah Luis Enrique yang lebih mengawal permainan sejak dari wisel permulaan ditiup pengadil dari Turki, Cuneyt Cakir mendapat peluang keemasan pada minit ke-16 apabila Koke hanya berhadapan dengan penjaga gol, Dominik Livakovic dalam kawasan penalti.
Bagaimanapun, percubaan beliau setelah menerima lorongan cantik daripada Pedri berjaya dinafikan penjaga gol berusia 26 tahun itu dengan menggunakan kakinya.
Sepanyol yang selesa mengatur gerakan bagaimanapun tersentak berselang empat minit kemudian apabila tolakan ke belakang dilakukan Pedri nyata mengelirukan Unai Simon di gawang Sepanyol sehingga menyebabkan bola membolosi gawangnya dengan begitu mudah.
Jaringan tersebut jelas meningkatkan moral para pemain Croatia untuk menggandakan kedudukan dan mendapat dua peluang terbaik dalam tempoh dua minit.
Bermula dengan gerakan solo Nikola Vlasic yang berjaya melepasi kawalan Eric Garcia dalam kawasan penalti tetapi percubaannya pada minit ke-25 sekadar singgah di tepi jaring sebelah kiri pintu gol Sepanyol.
Seminit kemudian, Matteo Kovacic pula melepaskan rembatan dari luar kawasan penalti tetapi percubaan tersebut sedikit melewati palang gol.
Kedudukan kembali terikat ketika perlawanan memasuki minit ke-38 apabila percubaan susulan dilakukan Pablo Sarabia berjaya membuahkan hasil selepas rembatan awal Jose Gaya terlebih dahulu ditepis keluar Livakovic.
Sepanyol kemudiannya berada di hadapan pada minit ke-57 selepas Cesar Azpilicueta menanduk masuk bola hasil hantaran lintang menarik dilakukan Ferran Torres. Gol itu juga merupakan jaringan pertama di pentas antarabangsa buat bek kanan tersebut.
Kemasukan Ferran Torres dilihat menambah kekuatan buat jentera serangan Sepanyol apabila beliau bertindak cemerlang dengan melakukan larian pantas bagi mendapatkan hantaran jauh Pau Torres lalu mengukuhkan kedudukan pada minit ke-77.
Ketinggalan dua gol bagaimanapun tidak langsung merentap semangat juang para pemain Croatia yang cukup membara untuk terus berusaha bagi merapatkan defisit jaringan.
Usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-85 apabila pemain gantian, Mislav Orsic menyudahkan peluang menerusi satu rembatan jarak dekat ketika situasi kelam-kabut untuk kembali menghidupkan peluang buat skuad kendalian Zlatko Dalic itu.
Ketika Sepanyol berkira-kira untuk meraikan kemenangan dengan lebih awal, Mario Pasalic kembali mengikat kedudukan pada masa kecederaan sekali gus mengheret perlawanan ke penentuan masa tambahan.
Bagaikan mendapat tonik berguna dengan kebangkitan ditampilkan, Croatia kelihatan garang dengan percubaan daripada Orsic yang sedikit melewati palang pada dan juga rembatan Andrej Kamaric dalam kawasan penalti dinafikan Unai Simon.
Namun, Sepanyol lebih bijak menyempurnakan peluang untuk kembali di hadapan pada minit ke-100 apabila Alvaro Morata meledakkan rembatan padu menerusi kaki kiri yang gagal dinafikan Livakovic setelah beliau menerima hantaran lintang menarik daripada Dani Olmo.
Kelebihan itu digandakan skuad La Roja berselang tiga minit kemudian selepas Olmo sekali lagi melakukan hantaran yang hampir serupa dan kali ini giliran Mikel Oryazabal pula meletakkan nama selaku penjaring bagi menjadikan kedudukan 5-3.
Ini juga merupakan perlawanan kedua berturut-turut Sepanyol berjaya meledakkan lima gol selepas sebelum ini mereka menang bergaya 5-0 ke atas Slovakia.
Kemenangan yang boleh dianggap dramatik itu menyaksikan Sepanyol bakal menanti pemenang antara Perancis dan Switzerland untuk membuat perhitungan di suku akhir pada 2 Julai nanti.