Pemain tengah AS Roma, Henrikh Mkhitaryan jelas tidak mahu membicarakan perkara lama melibatkan dirinya dengan Jose Mourinho yang kini merupakan pengendali pasukan dalam saingan Serie A itu.
Pernah beraksi di bawah kendalian Mourinho ketika menyarung jersi Manchester United bermula musim 2016/17, Mkhitaryan gagal meneruskan kecemerlangan seperti ditampilkan musim pertama di Old Trafford sehingga beliau dikritik pengendali dari Portugal itu.
Keadaan itu menyebabkan beliau terpaksa berhijrah ke Arsenal sebagai pertukaran kepada kehadiran Alexis Sanchez bagi menyertai United pada musim 2017/18.
Bagaimanapun, perkara itu tidak lagi berada dalam fikiran Mkhitaryan dan beliau sendiri tanpa berselindung memuji kredibiliti Mourinho serta tertarik dengan projek yang cuba dipraktikkan kelab tersebut.
“Mourinho merupakan seorang yang sangat bercita-cita besar, dia sentiasa mahukan kemenangan,” ujar Mkhitaryan menurut laporan dikeluarkan Football Italia.
“Dia langsung tidak peduli adakah kami bermain bola sepak dengan baik atau teruk kerana semuanya adalah berkaitan dengan mencatatkan tiga mata.”
“Saya tidak ingin untuk bercakap mengenai perkara lalu, kami telah berbincang bersama dan bermula dari awal di peringkat yang berbeza. Saya tahu apa yang dia mahukan daripada setiap pemainnya dan saya sedia untuk memberikan segalanya.”
“Saya kekal di sini kerana saya mempercayai projek kelab ini dan saya amat menyukainya sejak hari pertama [Mourinho berada di Roma],” tambah Mkhitaryan lagi.
Baca artikel lain mengenai Mourinho dan AS Roma:
Skrin Gergasi Di Padang Latihan Antara Perubahan Diperkenalkan Jose Mourinho Buat AS Roma
Rossi Jangka Jose Mourinho, Simone Inzaghi Calon Terawal Bakal Dipecat
Matt Doherty: Pemain Tottenham Yang Sebabkan Mourinho Dipecat