Wong Tat Meng yang baharu sahaja membimbing Lee Zii Jia kini menumpukan perhatiannya kepada misi serampang dua mata dalam membimbing pemain perseorangan negara tersebut.
Baca Juga:
- RASMI: Wong Tat Meng Bakal Bimbing Lee Zii Jia
- Terbuka Indonesia 2023: Lee Zii Jia Tersingkir Awal, Tewas Kepada Lakshya Sen
- Kenali 10 Jurulatih Badminton Dari Malaysia Yang Sedang Berkhidmat Di Luar Negara
Tugas berat yang dihadapi Zii Jia untuk meningkatkan kembali prestasinya pada ketika ini pastinya turut dirasai oleh pengendali berusia 56 tersebut.
Menduduki ranking kedua dunia pada 17 Januari 2023, Zii Jia kemudiannya mempamerkan prestasi yo-yo hingga menyebabkan kedudukannya tergelincir ke tangga ke-14.
Menurut sumber laporan Bernama, Tat Meng mahu meneliti dengan mendalam terlebih dahulu prestasi Zii Jia pada tiga kejohanan akan datang sebelum beliau merangka perancangan rapi dalam sesi latihan.
Kejohanan yang dimaksudkan ialah Terbuka Korea Selatan dan Terbuka Jepun pada pertengahan serta hujung bulan ini manakala Terbuka Australia dijadualkan berlangsung 1 hingga 6 Ogos nanti.
Di samping mahu meningkatkan prestasi anak didik baharunya itu, Wong Tat Meng turut melihat aspek keyakinan dan psikologi turut bakal mendapat perhatian khusus daripada beliau.
“Saya tidak pernah lihat dia (beraksi) dalam pertandingan. Jadi, saya mahu lihat bagaimana dia beraksi sebelum tentukan program latihan.”
“Zii Jia ada potensi dan kebolehan untuk bergelar juara. Ia datang bersama pakej kerana jika dia mendapat perhatian cukup, sudah tentu akan disertakan dengan tekanan yang hebat.”
“Dia kena belajar terima (harapan) peminat dan media. Mereka yakin dengan keupayaannya, jadi dia harus yakin dengan diri sendiri,” tambah Tat Meng lagi.