Melalui kerjasama yang julung-julung kali diadakan antara jenama minyak masak utama di Malaysia dan sukan terbesar negara, Sime Darby Oils (SDO) semalam mengumumkan minyak masak ALIF sebagai penaja Liga Malaysia.
Bersempena dengan pengumuman khas yang dibuat sewaktu acara berbuka puasa yang dihadiri Ahli Lembaga Pengarah MFL, Encik Mustaza Ahmad serta Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, SDO turut memperkenalkan produk terbaharu ‘Minyak Masak ALIF Diperkaya dengan Vitamin D3’, selaras dengan komitmen syarikat tersebut untuk menawarkan produk berkualiti kepada para pengguna Malaysia.
Pengarah Urusan SDO, Mohd Haris Mohd Arshad berkata, sokongan jenama minyak masak itu terhadap sukan terbesar Negara adalah wajar supaya kebaikan ALIF, minyak masak yang dihasilkan secara mampan pertama di Malaysia, dapat dikongsi dengan lebih ramai pengguna.
“Jenama ALIF mewakili pelbagai ciri terbaik minyak sawit Malaysia yang dihasilkan secara mampan. Kami percaya, lebih ramai peminat bola sepak tempatan akan dapat menghargai kualiti produk minyak masak ALIF, bukan sekadar para peminat wanita yang merupakan segmen pengguna utama kami.
“Kami amat teruja untuk bekerjasama dengan Liga Bola Sepak Malaysia dan menemui penonton bola sepak Malaysia daripada pelbagai golongan,” katanya.
Liga Malaysia dianggarkan mempunyai 21 juta para peminat di seluruh Negara (40% daripadanya adalah wanita), 350 perlawanan dalam satu musim, lebih 1.6 juta penonton di stadium, dan lebih 7.5 juta pengikut di media digital.
Untuk para peminat bola sepak, SDO telahpun merancang pelbagai program dan aktiviti bercorak gaya hidup yang akan dilaksanakan di stadium dan juga pusat membeli-belah terpilih dengan kerjasama rakan-rakan niaga. Ini termasuklah aktiviti-aktiviti bersama personaliti bola sepak terkenal dan para peminat mereka di setiap negeri di seluruh Negara.
“Musim bola sepak pada kali ini bakal beraksi dengan lebih meriah, terutamanya selepas terpaksa ‘berehat’ seketika ekoran pandemik COVID-19. Kami berhasrat untuk menghangatkan lagi suasana kemeriahan acara sukan ini dengan pelbagai aktiviti yang akan mendekatkan lagi ALIF dan bintang bola sepak Malaysia dengan para peminat bola sepak tanahair,” tambah Mohd Haris.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Encik Stuart Ramalingam berkata penyertaan ALIF sebagai minyak masak rasmi adalah suatu yang mengujakan bagi arena bola sepak tempatan, kerana ia membawa mesej yang positif bahawa liga bola sepak tempatan mempunyai tarikan yang tersendiri.
“Bagi pihak Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, Lembaga Pengarah dan komuniti bola sepak, kami berbangga mengalu-alukan kehadiran ALIF, salah satu jenama minyak masak tempatan terbesar, ke dalam keluarga Liga Malaysia 2022.”
“Kerjasama ALIF dan MFL menandakan satu lagi penyertaan baharu jenama tempatan terkemuka yang menghargai dan menyokong industri bola sepak tempatan sebagai platform yang boleh meningkatkan kesedaran jenama. Setelah kita bersama-sama mengharungi wabak COVID-19, kami berterima kasih kepada SDO atas kepercayaan yang diberikan kepada kami. MFL akan melakukan yang terbaik untuk menghidupkan pengalaman bola sepak yang hebat bersama Minyak Masak ALIF,” kata Stuart.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.
Tiga Perlawanan Tanpa Kemenangan, Dollah Bakal Kembali Latih Sri Pahang?
Risau Didenda, Bojan Hodak Tahan Diri Daripada Kritik Mutu Pengadilan
Masih Gagal Selesaikan Tunggakan Gaji, Perak Dipotong Enam Mata Lagi
Tiada Lagi Penundaan Perlawanan Jika Pemain Dan Jurulatih Disahkan Positif COVID-19