Beberapa hari lepas, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) telah menamatkan kontrak B. Satiananthan sebagai ketua jurulatih selepas kekalahan memalukan 6-1 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan CIMB Liga Super 2020.

Oleh sebab itu, mereka membuat keputusan untuk melantik jurulatih dari Jerman, Michael Feichtenbeiner sebagai pengendali sementara bagi mengharungi baki saingan Liga Malaysia musim ini.

“Saya diamanahkan tugas sebagai Pengarah Teknikal kelab ini, namun apabila pihak pengurusan meminta saya membantu skuad Selangor maka saya merasakan ia merupakan tugas saya untuk melakukannya,” kata Michael Feichtenbeiner dipetik dalam laman web rasmi FAS.

“Saya akan mengambil alih skuad utama Selangor sebagai ketua jurulatih untuk baki perlawanan Liga M musim ini dan saya akan kembali sebagai Pengarah Teknikal untuk kesemua pasukan dalam FAS pada musim hadapan,” tambahnya.

Eilgy_oU0AABnNG
FOTO: FA Selangor

Beliau juga mahu mengambil peluang ini untuk menerapkan DNA baharu yang bakal digunakan secara menyeluruh bagi musim hadapan dan mampu memberi kelebihan kepada pemain.

“Sebagai ketua jurulatih interim, saya akan perlahan-lahan melakukan beberapa perubahan awal dengan mula menerapkan DNA dalam skuad utama Selangor dan akan mula memulakan persiapan awal dalam pasukan baru musim hadapan.

“Saya memerlukan masa untuk menilai pemain-pemain bagi membuat keputusan terbaik untuk kelab musim ini. Saya juga telah memberitahu berita baik kepada kesemua pemain bahawa Selangor belum menandatangani pemain baru dan ini merupakan peluang yang adil untuk mereka memperjuangkan kontrak baharu dan menunjukkan mereka layak untuk terus berada dalam pasukan musim hadapan,” sambung Michael lagi.

Perlawanan pertama Michael bersama skuad Gergasi Merah akan bermula pada hari sabtu ini apabila bertemu UiTM FC dalam saingan Liga Super. Selangor kini berada di kedudukan 8 dalam carta liga dengan 10 mata.

Justeru itu, Michael berharap penyokong Selangor bersabar kerana setiap proses yang dilakukan memerlukan masa untuk membuahkan kejayaan.

“Penyokong perlu bersabar dan percaya akan proses yang baru dijalankan ini. Selain itu, penyokong juga perlu mempercayai para pemain yang akan meneruskan perjuangan ini dengan saya. Mereka ingin menunjukkan prestasi yang terbaik untuk Selangor dan membuat peminat gembira,” katanya.

Baca artikel lain mengenai pasukan Selangor di sini:

TERKINI: FAS Tamatkan Kontrak B.Satianathan

Giliran ‘Adik’ Selangor Pula Dibelasah 6-1 Oleh JDT II

CIMB Liga Super: JDT Ibarat Direndam Tidak Basah, Selangor Terkulai Di Stadium Sultan Ibrahim