Al Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) telah menandatangani perjanjian penajaan dengan Malaysian Football League (MFL) untuk meletakkan bank digitalnya, rize selaku Bank Digital Rasmi Liga Malaysia 2023.

Baca Juga:

Ini adalah kerjasama sulung alrajhi bank Malaysia dalam penajaan liga bola sepak utama negara yang membabitkan Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, MFL Challenge Cup, Piala MFL dan Piala Sultan Haji Ahmad Shah (turut dikenali sebagai Perlawanan Sumbangsih).

Majlis pelancaran penajaan dihadiri Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, Ahli Lembaga Pengarah MFL, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya dan Mohd Joehari Ayub, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) alrajhi bank Malaysia, Arsalaan (Oz) Ahmed serta CEO MFL, Stuart Ramalingam.

Legenda bola sepak negara, Norshahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali sebagai Mat Yo turut hadir selaku tetamu istimewa pada majlis ini. Mat Yo merupakan salah seorang tonggak utama yang membantu Harimau Malaya memenangi Piala AFF Suzuki 2010 selain muncul tiga kali pemenang Pemain Paling Bernilai (MVP) di Anugerah Bolasepak Kebangsaan untuk tiga tahun berturut-turut (2010, 2011, 2012) serta bermain dengan pasukan ternama seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Kelantan, Terengganu, Felda United FC, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pahang, Melaka United dan Sarawak United.

Presiden MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan berkata,

“MFL gembira dan mengalu-alukan alrajhi bank Malaysia sebagai Rakan Rasmi Bank Digital Liga Malaysia 2023. Ini bukan sekadar satu perjanjian penajaan tetapi perkongsian strategik yang mampu mengukuhkan matlamat bersama kedua-dua pihak.”

“Dengan rize telah memulakan era baharu perbankan abad ke-21, MFL juga telah memulakan penstrukturan baharu Liga Malaysia untuk membawa bola sepak tanah air ke tahap lebih tinggi. Bersama alrajhi bank Malaysia, ini akan membantu kami mencapai objektif tersebut,” katanya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif alrajhi bank Malaysia, Oz,

“alrajhi bank Malaysia sangat gembira kerana dapat menjalinkan kerjasama dengan MFL untuk menaikkan lagi keterujaan penyokong pada Liga Malaysia 2023 melalui rize bank digital pertamanya, yang telah dilancarkan baru-baru ini. Tujuan utama rize ini adalah untuk memberikan inspirasi dan membantu pelanggan kami dalam mencapai harapan dan impian mereka. Kami berharap dapat melakukan perkara sama bersama komuniti bola sepak Malaysia dengan mencipta pengalaman baharu bersama mereka di Liga Malaysia 2023.”

“Alrajhi bank Malaysia dan MFL akan menjalinkan kerjasama secara lebih meluas memandangkan rize merupakan bank digital terbaharu di Malaysia dan kami melihat kerjasama ini sebagai satu peluang untuk melonjakkan lagi imej kami bersama bola sepak Malaysia. Kami akan membentangkan perancangan kami dengan lebih mendalam dalam beberapa minggu akan datang. Banyak aktiviti menarik yang mampu dirangka pada perlawanan-perlawanan akan datang.” kata Oz.

Peminat bola sepak akan melalui satu pengalaman perbankan yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini melalui sentuhan teknologi terbaik di dalam kelasnya.

Segala keperluan perbankan akan tersedia di telefon pintar tanpa perlu pergi ke cawangan bank yang terdekat.

“Sebagai permulaan untuk semua peminat, kami ingin mengumumkan sama ada ‘rizers’ baharu atau lama, mereka akan layak mendapat diskaun 10 % daripada harga tiket jika bayar menggunakan kad debit rize.

“Pelanggan boleh memesan secara atas talian serta mengaktifkan aplikasi rize secara digital tanpa pergi ke mana-mana cawangan bank yang terdekat,” tambah Oz. Tawaran tiga bulan ini turut terbuka kepada pelanggan semasa alrajhi bank.

Pengerusi alrajhi bank Malaysia, Roger Winfield berkata,

“Bola sepak adalah sukan paling banyak diikuti di Malaysia dan penajaan ini merupakan satu peluang kepada kami melibatkan diri bersama peminat serta berkongsi pengalaman. Kerjasama dengan MFL ini sangat penting kepada kami dan diharapkan akan berkembang dengan lebih baik pada masa depan.”

Liga Malaysia musim 2023 akan bermula pada 24 Februari ini melibatkan aksi Piala Sultan Haji Ahmad Shah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri melibatkan antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC.