Liga Bolasepak Malaysia (MFL) meminta semua pihak tidak terkeliru dengan berita berkenaan penggunaan pengadil import dan meminta spekulasi yang cuba ditimbulkan untuk mengeruhkan kerjasama antara badan pengendali Liga Malaysia itu dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dihentikan.

Sebaliknya, MFL menegaskan pihaknya tiada halangan untuk melaksanakan penggunaan pengadil import di Liga Malaysia termasuk di pentas final Shopee Piala FA 2019 dan bersedia memberikan sokongan penuh kepada perlaksanaan rancangan tersebut.

Malah Kevin mendedahkan idea penggunaan pengadil import ini telah lama dicadangkan oleh MFL tetapi ia tidak mendapat sokongan penuh selain sedikit tentangan pada waktu lalu.

Kevin Ramalingam
Sumber Gambar: MFL

“Pengerusi MFL, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim pun sudah lama mahu mengetengahkan penambahbaikan dalam bahagian ini.

“Jadi, kami sememangnya terbuka dan bersedia bekerjasama dengan FAM dalam usaha meningkatkan kualiti pengadilan,” katanya.

Tambab Kevin, beliau cukup optimis kehadiran pengadil import bakal memberikan sedikit kelainan selaras dengan hasrat DYAM Tunku Ismail yang mahu menyaksikan pembaharuan dalam industri pengadilan tempatan dengan memperkenalkan Profesional Match Official Malaysia (PMOM) yang bakal beroperasi sedikit masa lagi selepas kehilangan sumber kewangan bagi menampung projek ini sejak kontrak tajaan Telekom Malaysia (TM) ditamatkan Mac lalu.

Justeru, Kevin menyatakan bahawa MFL sentiasa bekerjasama dengan FAM yang bertanggungjawab dalam pemilihan pengadil bagi sesuatu perlawanan dalam usaha membawa pengadil luar menjelang aksi final Shopee Piala FA 2019 pada 27 Julai ini.

J.Suresh
Sumber Gambar: Dunia Sukan

“Terlalu banyak sangat perbincangan berhubung pengadil import ini, tapi isu ini MFL sangat terbuka dan berpendapat perlunya ada pengadil import.

“Jadi, MFL sentiasa mengalu-alukan pengadil import dan mengharap FAM dapat memberikan bantuan sepenuhnya dalam usaha membawa pengadil import,” ujarnya.