Malaysian Football League (MFL) telah bersedia dengan beberapa pilihan alternatif bagi meneruskan kalendar bola sepak tempatan pada musim 2020 jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 sehingga 14 April ini dilanjutkan kepada satu tarikh baharu.
Bagaimanapun, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan menjelaskan bahawa keputusan sama ada untuk meneruskan kalendar bola sepak Malaysia turut bergantung dengan arahan pihak Kerajaan daripada sudut bilakah pengumuman status PKP akan berakhir serta nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“MFL sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan yang berlaku dan kami juga bersedia dengan beberapa pilihan jika sekiranya PKP masih lagi dilanjutkan tempoh.
“Untuk makluman segala persiapan dan perancangan MFL melibatkan CIMB Liga Super, Liga Premier, Shopee Piala FA, Challenge Cup, TM Piala Malaysia serta saingan liga amatur M3 kelolaan Amateur Football League (AFL).
“Namun begitu segala keputusan ini masih tertakluk kepada arahan kerajaan berhubung bilakah status PKP akan berakhir dan sebaik tempoh akhir PKP telah diumumkan, MFL akan memaklumkan dengan lebih terperinci berhubung format yang akan digunapakai,” katanya dalam satu kenyataan.
MFL BERSEDIA JIKA PKP DILANJUTKAN
MFL telah bersedia dengan beberapa pilihan alternatif bagi meneruskan kalendar bola sepak tempatan pada musim 2020 jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan kepada satu tarikh baharu.
Artikel penuh ➡️ https://t.co/dFlMgVYKE7#MFL pic.twitter.com/8AnchR9poL
— Malaysian Football League (@MFL_MY) April 5, 2020
Kelmarin, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media memaklumkan bahawa perhimpunan ramai tidak digalakkan dalam tempoh enam bulan hingga setahun.
Situasi itu mula menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat dan penyokong bola sepak tanah air sama ada Liga-M akan dibatalkan atau dilangsungkan tanpa kehadiran penonton.
“Mengenai saranan KKM itu, kita ambil maklum namun adalah lebih baik kita menunggu tempoh PKP selesai dan garis panduan terbaharu dikeluarkan oleh KKM dan pihak Kerajaan sebelum MFL membuat sebarang keputusan mengenai perjalanan Liga Malaysia musim 2020,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dato’ Ab Ghani turut menyeru kepada kesemua pegawai dan pemain pasukan Liga Malaysia dapat menerima penangguhan liga ini secara terbuka.
Lebih tepat, beliau menggesa kesemua pasukan terus mengadakan perbincangan bersama pemain dan pegawai berhubung status kontrak ketika menempuhi pandemik COVID-19 yang jelas memberikan impak besar kepada masalah kewangan setiap pasukan bertanding.
“Saya menyeru pegawai dan pemain pasukan agar menerima penangguhan liga ini secara terbuka dan terus mengadakan perbincangan dengan pemain dan pegawai berhubung status kontrak.
“Pujian harus diberikan kepada UKM FC yang telah mengadakan perbincangan bersama pegawai dan pemain manakala pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) pula bersetuju untuk pemotongan gaji sebanyak 33 peratus dan mendermakan sebahagian dari gaji mereka kepada Tabung Bencana Negeri Johor dalam usaha meringankan beban kelab serta masyarakat pada waktu yang mencabar ini.
“Malah yang terbaharu, satu lagi kelab Liga Premier, Kuching FA sudah mendapat sokongan daripada pemain untuk melakukan pemotongan gaji sebanyak 5 peratus pada bulan ini selain turut menderma kepada golongan terjejas akibat penularan wabak COVID-19.
“Saya berharap pasukan-pasukan lain dapat bergerak ke arah itu di mana bukan sahaja pasukan dari Malaysia sebaliknya seluruh kelab di dunia ini sedang terpalit mengalami masalah terjejas kewangan gara-gara pandemik COVID-19 ini,” katanya.
Baca artikel lain mengenai isu pemotongan gaji pemain Liga Malaysia melalui pautan dibawah.
Khalid Jamlus Gesa Pasukan Selesaikan Tunggakan Sebelum Memotong Gaji Pemain
Pemain UKM FC Setuju Dengan Pemotongan Gaji Hingga 20 Peratus
“Daripada Satu Sudut, Pemain Mungkin Bimbang Kelab Mencari Alasan Untuk Tidak Membayar Gaji Penuh”