Bahang saingan Liga Malaysia semakin dirasai apabila Malaysian Football League (MFL) memperkenalkan 24 pasukan daripada unifi Liga Super dan Liga Premier pada hari ini.

Johor Darul Ta’zim (JDT) selaku berjuara bertahan unifi Liga Super bakal bersaing bersama-sama Selangor, Kedah, Terengganu FC, PKNS FC, Kuala Lumpur, Perak, Pahang, Melaka, PKNP FC dan dua pasukan baharu dari Liga Premier, Felda United FC dan MIFA.

Manakala di Liga Premier menyaksikan JDT II, Kelantan, Negeri Sembilan, UiTM FC, UKM FC, PDRM, Sabah, Sarawak, Pulau Pinang, Terengganu FC II bersama dua pendatang baharu Perlis dan Selangor United menjadi persaingan semakin sengit.

Tirai unifi Liga Super dan Liga Premier bakal bermula pada 1 Februari manakala aksi perlawanan sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Haji Ahmad Shah berlangsung pada 2 Februari antara juara lima kali berturut-turut unifi Liga Super, JDT menentang juara unifi Piala Malaysia, Perak di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin.

Kemeriahan bola sepak tempatan turut disambut dengan pelancaran logo baharu MFL yang tampil lebih segar dan dinamik bersempena penjenamaan semula MFL yang sebelum ini dikenali sebagai Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).

Logo baharu ini dipilih sendiri oleh Pengerusi MFL, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim yang mana ia terdiri daripada bentuk bulat yang melambangkan bola, bentuk segi enam yang melambangkan kesemua pertandingan yang dianjurkan oleh MFL iaitu Piala Sumbangsih, Liga Super, Liga Premier, Piala FA, Piala Malaysia dan Challenge Cup. Logo baharu ini merangkumi keseluruhan Liga Malaysia dan melambangkan aspirasi MFL yang
berpandangan jauh ke hadapan.

Manakala bentuk bulan sabit dan bintang yang diambil daripada Jalur Gemilang untuk melambangkan Malaysia, dan bentuk kibaran bendera yang melambangkan kemampanan dan sifat progresif yang akan dibawa oleh MFL.

“Melalui kepimpinan Pengerusi MFL, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, MFL kini lebih jauh berkembang dari sebelumnya. Penjenamaan ini selaras dengan misi dan visi Tunku Pengerusi yang mahukan perubahan drastik dan meletakkan bola sepak tempatan ini sentiasa jauh dihadapan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam.

Penganjuran Liga Malaysia kini melangkah ke tahap lebih tinggi dan mendapat pengiktirafan pelbagai pihak hasil kerjasama daripada barisan penaja seperti unifi, iflix, Shopee, Nike, dan 100PLUS. MFL turut memperkenalkan barisan penaja baharu bagi musim 2019 dengan kehadiran AirAsia dan juga Maybank yang turut serta bagi memeriahkan Liga Malaysia 2019.

“Kesinambungan yang saya dapat lihat dengan penaja dan pelabur dalam liga terutamanya Telekom Malaysia (TM) sudah pasti banyak membawa perubahan besar kepada MFL dan kita berada di landasan yang tepat. Saya telah dimaklumkan oleh MFL bahawa para penaja berpuas hati dengan pelaburan ini. Jadi tahniah kepada MFL dan teruskan usaha yang baik ini.

Kita harus bergerak maju kehadapan dan akan bekerjasama lebih erat bersama TM, iflix dan Ampersand yang telah memberikan komitmen jangka masa panjang termasuk penaja-penaja tidak kira besar ataupun kecil. Kamu (penaja) adalah wira bagi semua.” Ahli Lembaga
Pengarah MFL, Datuk Wira Mohd Yusoff bin Mahadi.

Selain itu, selari dengan dunia teknologi, MFL turut melancarkan Aplikasi MFL yang bakal menyediakan berita terkini, jadual perlawanan, keputusan, pembelian tiket, statistik perlawanan dan permainan ‘Football Manager Liga Malaysia’. Aplikasi MFL boleh dimuat turun secara percuma di Google Play dan juga App Store bermula 23 Januari ini.

“Aplikasi MFL ini dibuat bagi mendekatkan lagi kesemua pertandingan ini kepada penyokong. Selari dengan teknologi yang terkini, penyokong boleh mendapatkan berita terkini tentang bola sepak tempatan dengan lebih pantas dan paling penting, penyokong dapat bermain Football Manager Liga Malaysia yang terkandung dalam aplikasi tersebut,” kata Kevin.

Atas hasil kerjasama MFL dan Fanskick.com, syarikat berkenaan akan menyediakan statistik daripada InStat yang akan diberikan secara percuma kepada semua pasukan, dimana akan membantu setiap pasukan untuk membuat analisis dan juga persediaan.

Penyokong setia juga akan diberi ganjaran. Penyokong bakal menikmati ganjaran yang besar jika lebih kerap untuk hadir ke stadium. Penyokong tegar pula akan diberi keutamaan untuk mendapatkan tiket bagi perlawanan separuh akhir dan juga perlawanan akhir yang melibatkan pertandingan berformat piala. Dalam masa yang sama, MFL menasihati penyokong untuk menyimpan baki kepingan tiket, dan maklumat lanjut bagi Ganjaran Penyokong Setia akan dimaklumkan nanti.

Kini semakin mudah untuk menikmati perlawanan bola sepak dengan inisiatif kerjasama antara MFL dan penyedia khidmat penstriman video terkemuka iflix pada Januari 2018. iflix telah menyiarkan sejumlah 221 perlawanan bola sepak secara langsung percuma kepada penonton seluruh negara melalui segmen “Football Malaysia on iflix”.

Untuk pengalaman aksi bola sepak yang menyeluruh, segmen ini juga menawarkan ribuan siaran ulangan penuh perlawanan, sorotan perlawanan, video-video pendek menarik dan rancangan bual bicara bola. Ini menjadikan iflix arena setempat untuk hiburan bola sepak.

“Siaran langsung bola sepak Malaysia adalah tawaran terbaik iflix untuk 2018. Menuju ke hadapan kami teruja untuk menawarkan pengalaman tontonan berkualiti tinggi yang lebih interaktif,” kata Pegawai Ketua Pemasaran iflix Jason Montero.

“Tahun ini, iflix berbangga untuk memperkenalkan iflix Cup — perlawanan All Star dari pasukan Utara melawan Selatan. Peminat bola semua berpeluang untuk memilih pemain pilihan kegemaran mereka untuk sesebuah pasukan. Kami ingin menghidupkan semangat bola sepak Malaysia dengan pelbagai aktiviti seperti persembahan artis secara langsung, permainan interaktif dan banyak lagi. iflix Cup bakal menjadi festival bola sepak yang sesuai
untuk seisi keluarga,” kata Jason.

iflix Cup dijadual berlangsung pada pertengahan musim dan maklumat lanjut akan dikongsi kemudian.