Baru-baru ini, peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan pendedahan surat tawaran kontrak pemain import Selangor FC di laman media sosial Harimau Selatan X.

Terdapat butiran lanjut kontrak turut didedahkan pada hantaran terbabit termasuk tawaran gaji USD30,000 (RM132,000) serta bonus kemenangan Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Ia adalah dokumen sulit yang tidak sepatutnya didedahkan secara terbuka kepada orang awam sekaligus menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Ada juga yang mempersoalkan bagaimana surat tersebut boleh sampai di tangan orang luar dan meragui kredibiliti Malaysia Football League (MFL) dalam penyimpanan dokumen sulit pasukan lain.

Bagaimanapun, Ketua pegawai eksekutif MFL (CEO), Stuart Ramalingam menafikan sekeras-kerasnya pihaknya menjadi dalang kebocoran surat itu.

“Saya mahu katakan yang MFL sebenarnya tidak akan respon mengenai dakwaan yang dilakukan di media sosial tetapi memandangkan soalan ini ditanya jadi saya perlu jelaskan.

“Sistem MFL tidak simpan surat tawaran tetapi kontrak pemain dan kelab, jadi pihak yang mengatakan bahawa kebocoran maklumat ini datang daripada MFL adalah tidak berfakta dan tidak bertanggungjawab.

“Kita ambil peluang susulan pertanyaan media untuk jelaskan bahawa dokumen ini tidak wujud dalam sistem MFL,” jelas Stuart Ramalingam.

Stuart juga menambah setiap kelab tahu bagaimana cara untuk memuat naik dokumen sulit dalam sistem yang ditetapkan oleh MFL dan isu kebocoran maklumat tidak sepatutnya berlaku.

“Saya rasa Selangor FC tahu apa yang dimuat naik dalam sistem kita. Kita tidak muat naik apa-apa dokumen tetapi pasukan (yang lakukannya).

“Saya percaya mereka juga tahu yang dokumen ini bukan datang daripada MFL,” ujarnya.

Selangor FC dalam satu kenyataan rasmi akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengendali laman sosial tersebut kerana menyebarkan fitnah mengenai gaji pemain mereka.

Mereka juga memberikan jaminan bahawa kelab itu berada di landasan yang tepat dalam pelbagai aspek dengan mendukung prinsip dan nilai murni kelab tersebut.

“Kelab ingin merekodkan bahawa kandungan ‘posting’ tersebut adalah palsu, tidak tepat dan dianggap fitnah. Kelab menafikan sekeras-kerasnya menggaji mana-mana individu dengan skala gaji yang didakwa di dalam siaran media sosial tersebut.

“Kelab mengutuk sekeras-kerasnya penyebaran maklumat palsu yang boleh merosakkan imej Kelab yang bertujuan untuk menimbulkan keresahan dan menggugat kestabilan Kelab, lebih-lebih lagi sambil bersembunyi di sebalik tabir tanpa nama.

“Pihak Kelab akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya, termasuk tetapi tidak terhad kepada pemfailan laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan pihak berkuasa lain yang berkaitan,” kata kenyataan rasmi.